Calon dan penyokong BN digesa kawal emosi

Adie Sufian Zulkefli
April 27, 2018 18:46 MYT
Pembangkang seperti biasa akan membuat provokasi supaya BN marah dan setiap calon serta ahli BN perlu melengkapkan diri dengan ilmu bagi menyangkal fitnah mereka.
Calon serta ahli Barisan Nasional (BN) perlu bijak mengawal emosi bagi menghadapi tsunami fitnah pembangkang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pendekatan itu perlu diterapkan agar calon dan ahli BN tidak terikut-ikut dengan perasaan marah sehingga mengheret mereka dalam situasi yang tidak diingini..
"Jangan terikut dengan emosi, kita ada fikiran yang waras untuk membuat sebarang tindakan. Ini masa yang genting," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menerusi akaun Twitter beliau baru-baru ini yang menzahirkan kebimbangan terhadap ancaman fitnah yang disebutnya sebagai 'Tsunami PHitnah' yang mula melanda semasa musim pilihan raya umum dalam keghairahan masing-masing mahu menumbangkan lawan.
Terdahulu, Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Padang Terap di Bukit Gedung, Kuala Nerang siang tadi.
Tambah Mahdzir, pembangkang seperti biasa akan membuat provokasi supaya BN marah dan setiap calon serta ahli BN perlu melengkapkan diri dengan ilmu bagi menyangkal fitnah mereka.
Mengulas lanjut, Mahdzir yang juga penyandang Ahli Parlimen Padang Terap berkata, calon serta ahli BN boleh mengambil tindakan segera dengan membuat laporan polis sekiranya terdapat berita palsu yang disebarkan pembangkang.
Katanya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memainkan peranan dalam memantau berita palsu serta membuat siasatan bersama polis bagi mengesan pihak yang bertanggunjawab menyebarkan fitnah siber.
#Barisan Nasional #calon #fitnah #MalaysiaMemilih #pembangkang #PRU14 #tsunami
;