Calon BN PRK Rompin: Hasan anggap tanggungjawab berat

Bernama
April 19, 2015 08:06 MYT
Datuk Hasan Arifin berkata bukan mudah untuk mengekalkan momentum penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang menjadi Anggota Parlimen Rompin selama 28 tahun. - Gambar fail
Pemangku Ketua Umno Bahagian Rompin Datuk Hasan Arifin berkata pemilihannya sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin adalah satu tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakannya.
Pada masa sama, katanya bukan mudah untuk mengekalkan momentum penyandang kerusi itu, Allahyarham Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang menjadi Anggota Parlimen Rompin selama 28 tahun.
"Ini bukan perjalanan yang mudah. Saya perlu bersedia korbankan masa dan tenaga kerana penunjuk indeks prestasi (KPI) Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah kenaikan undi sebanyak lima peratus daripada majoriti sebelum ini," katanya di sini.
Bercakap pada sidang media pertamanya selepas diumumkan sebagai calon BN, Hasan berkata pemilihan beliau dibuat oleh pucuk pimpinan parti tanpa campur tangan Umno bahagian.
Menurutnya Umno Rompin secara rasminya tidak pernah mencadangkan nama sesiapa, sebaliknya hanya menyuarakan pandangan supaya pemilihan calon dilakukan dalam kalangan anggota jawatankuasa bahagian.
"Kita suarakan pandangan itu atas dasar anak tempatan mendapat sokongan padu masyarakat dan saya sendiri menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan.
Apabila mereka sudah buat keputusan, saya harap kita semua dapat merapatkan saf dan berusaha memastikan kemenangan BN," katanya.
Hasan berkata pendekatan beliau pada PRK itu ialah 'kecil namun berkesan' iaitu mendekati pengundi secara bersemuka dalam kelompok kecil untuk memberi penerangan isu semasa termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).
Ditanya apakah perasaan beliau untuk kembali berkhidmat sebagai wakil rakyat, jika menang, selepas kali terakhir bergelar Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) pada 2004, Hasan berkata: "Saya tidak pernah berhenti berkhidmat untuk masyarakat.
"Rompin tetap di hati saya, ini tanah lahir saya. Saya tahu selok belok kawasan ini. Bagaimana saya boleh berhenti daripada mencurah budi. Apa yang penting dalam perjuangan adalah ikhlas," katanya.
Hasan berhasrat untuk memajukan Rompin menerusi sektor pelancongan, memandangkan Pulau Tioman yang sememangnya terkenal di peta pelancongan dunia berada dalam Parlimen Rompin.
Selain itu, beliau ingin memajukan industri pertanian yang menjadi punca pendapatan utama kebanyakan penduduk khususnya di kawasan Felda.
PRK Rompin diadakan berikutan kematian Jamaluddin yang juga pengerusi Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 pada Mei 2013, Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir enam penggal setelah mengalahkan bekas ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.
#BN #Hasan Arifin #Jamaluddin Jarjis #Muhyuddin Yassin #UMNO
;