Calon BN bagi dua PRK tidak semestinya anak tempatan - Annuar Musa

Rahimah Abdullah
Mei 19, 2016 15:26 MYT
ANNUAR: Keputusan muktamad berhubung siapa yang akan menjadi calon PRK berkenaan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan. - fotoBERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak semestinya anak tempatan, ujar Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa.
Jelasnya, ia berikutan banyak kriteria lain turut yang ditekankan parti itu dalam meletakkan calon boleh menang.
"Tidak semestinya anak tempatan, ada banyak lagi kriteria (yang perlu dipenuhi). Kuala Kangsar tujuh penggal duduk bawah Tan Sri Rafidah Aziz dan bukan anak tempatan, tiada masalah. Kuala Kangsar sudah ada rekod yang sedemikian," katanya kepada media semasa ditemui di lob Parlimen di sini pada Khamis.
Justeru katanya, keputusan muktamad berhubung siapa yang akan menjadi calon PRK berkenaan akan diserahkan kepada pucuk pimpinan.
Dalam pada itu katanya, nama-nama calon BN untuk PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah ada dalam pengetahuan Presiden parti.
"Nama-nama sudah ada dalam pengetahuan Datuk Seri Najib dan macam biasa dalam BN kita perlu buat semakan-semakan tertentu selain pucuk pimpinan perlu mendapatkan maklum balas yang secukupnya dari pelbagai pihak," ujarnya.
Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar dimenangi BN dalam Pilihan Raya 2013, diisytiharkan kosong berikutan kematian ahli parlimen mereka dalam nahas helikopter semasa Pilihan Raya Negeri Sarawak awal bulan ini.
#Annuar Musa #BN #Kuala Kangsar #PRK #Sungai Besar #UMNO
;