Calon BN ada kelebihan dalam persaingan tiga penjuru - Penganalisis politik
Bernama
Ogos 15, 2020 05:24 MYT
Ogos 15, 2020 05:24 MYT
Di atas kertas, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim Mohd Zaidi Aziz mempunyai peluang cerah mempertahankan kerusi Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berbanding dua lawannya.
Bagaimanapun, menurut penganalisis politik, jentera BN perlu memastikan setiap penyokong parti dan pengundi keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam kebiasaan baharu ekoran wabak COVID-19.
Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Dr Noor Azlan Hadi Yaacob berkata Mohd Zaidi perlu mengatur gerak kerja kempen yang bersesuaian supaya dapat menemui ramai pengundi seterusnya mengajak mereka keluar mengundi.
"Satu perkara penting adalah sejauh mana ahli parti akan keluar mengundi lebih-lebih lagi ketika kebimbangan masyarakat terhadap COVID-19, selain kempen akan kurang rancak kerana prosedur operasi standard (SOP) kempen," katanya kepada Bernama, pada Sabtu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan sepanjang tempoh berkempen yang bermula hari ini, setiap calon perlu mematuhi beberapa peraturan termasuk penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka, saringan suhu badan, penggunaan pensanitasi tangan, selain mengehadkan kehadiran tidak melebihi 250 orang bagi aktiviti ceramah.
Sementara bagi aktiviti ziarah rumah pengundi pula, calon atau wakil tidak dibenarkan bersentuhan dan bersalaman dengan penghuni rumah serta calon digalakkan memaksimum kaedah kempen menggunakan medium dalam talian atau melalui saluran media sosial.
PRK DUN Slim pada 29 Ogos ini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Zaidi, 43, dan dua calon Bebas iaitu bekas guru, S. Santharasekaran, 44, dan peguam, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum didaftar secara rasmi.
Mengulas lanjut, Noor Azlan berkata Mohd Zaidi juga mempunyai kelebihan kerana merupakan anak tempatan selain disokong jentera kempen yang teratur.
Menurutnya, Amir Kusyairi dilihat bergantung kepada pengaruh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan penubuhan parti Pejuang dalam mendapat sokongan pengundi.
"Latar belakang keluarga beliau juga sangat baik, ditambah dengan sokongan dan pengaruh Dr Mahathir, ini juga sebagai faktor yang akan menarik pengundi," katanya.
Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib berpandangan, BN mampu menang dengan mudah berdasarkan kekuatan parti itu pada PRU14 lalu.
"Dalam melihat rekod di Slim, ini adalah kubu kuat BN dan mungkin BN boleh menang dengan mudah jika dibandingkan dengan Pejuang yang merupakan sebuah parti baharu, namun semuanya bergantung kepada pengundi sendiri," katanya.
Kartini juga menyarankan supaya semua calon merangka strategi sesuai selari dengan saranan SPR sepanjang kempen untuk sama-sama mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya Mohd Khusairi pada 15 Julai.
Allahyarham Mohd Khusairi memenangi DUN Slim semasa PRU11 pada 2004 dengan majoriti 4,875, PRU12 (majoriti 3,526), PRU13 (majoriti 3,853) dan PRU14 (majoriti 2,183).
-- BERNAMA