Calon Bebas harap media bantu kempen
Muhafandi Muhamad
September 13, 2014 21:14 MYT
September 13, 2014 21:14 MYT
Pilihan raya kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara BN, PAS dan Bebas.
Kehadiran calon Bebas pada PRK kali ini mengejutkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapha Mohamed.
“Kita tidak sangka lah semalam kita tau ada dua pihak akan bertanding, hari ini ada 3 penjuru. Rakyat akan buat keputusan yang bijak dan kita akan bekerja keras dan terserah kepada Allah untuk tentukan outcomenya,” ulas Mustapha.
Katanya di pihak UMNO dan BN segala gerak kerja menemui pengundi akan dilakukan dalam kempen selama 12 hari ini.
Sementara itu Naib Presien UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Afdal mengharapkan persaingan tiga penjuru ini tidak menjejaskan sokongan pengundi di DUN ini.
“InsyaAllah kalau kita lihat dari segi kedudukan yang sedia ada jentera perpaduan calon yang kita letak, kita yakin ada kelebihan cuma saya harap jentera yang ada hari ini berjalan dngan pendekatan penuh tawaduk cuma saya harap jangan over confident dan dampingi 24 ribu pengundi yang ada,” tambah Shafie.
Sementara itu calon Bebas, Izat Bukhari Ismail Bukhari, 48 tahun mempertaruhkan dirinya kali kedua bertanding di kerusi DUN Pengkalan Kubor.
Jika dahulu beliau hilang deposit namun kali ini beliau mengharapkan media dapat membantu kempennya.
"Strategi tidak ada, Cuma saya minta bantuan daripada media supaya sebarkan dan tolong bantu kempen sebab saya kecil dan medialah boleh bantu. Sekurangnya apa yang ingin saya sampaikan sampai ke sasaran. Saya tidak anggap lawan, semua sahabat cuma berbeza pendapat. Saya turun ini dengan pendapat saya,” ulas calon Bebas itu yang pada pilihan raya umum ke 13 lalu hanya memperolehi 67 undi.