Calon bebas DUN Mentakab dakwa jadi mangsa fitnah

Nuradilla Noorazam
April 30, 2018 21:48 MYT
Chua membidas fitnah yang mendakwa beliau mempunyai pertalian dengan MCA dan Barisan Nasional di Temerloh. - Facebook/Boon Seong Chua
Calon Bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) N.30 Mentakab, Datuk Chua Boon Seong membidas fitnah yang mendakwa beliau mempunyai pertalian dengan MCA dan Barisan Nasional (BN) di Temerloh.
Chua, 63 tahun, yang merupakan bekas ADUN Mentakab sebagai wakil BN selama dua penggal, kini bertanding sebagai calon Bebas di kawasan berkenaan.
Laporan polis beliau menyatakan, seorang penyokong Pakatan Harapan telah mengguna akaun Facebook rasminya untuk berkongsi poster yang mengandungi gambar belia dan logo MCA.
Individu yang dituduh merupakan salah seorang admin atau pentadbir laman Facebook itu, dan telah membatalkan akses admin-admin lain di laman Facebook terbabit.
"Pada pukul 4 petang, saya dimaklumkan oleh pembantu saya, ada individu yang menyiarkan laporan palsu mengenai PRU14 yang mengaitkan saya dengan BN.
"Saya adalah calon Bebas yang bertanding di DUN N30 Mentakab dan tidak ada kaitan dengan BN atau MCA.
"Siaran yang tidak benar ini sengaja dikongsi bagi mengelirukan semua pihak dan mengalahkan saya dalam PRU14. Saya percaya sebaran palsu ini disengajakan oleh penyokong Pakatan Harapan," dakwanya.
Chua turut percaya dalang kejadian tersebut bersekongkol dengan admin laman Facebook beliau yang juga merupakan seorang penyokong PH.
Jelasnya, admin tersebut telah menyingkirkan admin lain sebelum berkongsi fitnah tersebut bagi memastikan tiada pihak yang boleh memadamnya.
"Kesan kejadian ini memberi prejudis terhadap saya kerana terdapat lebih 13,000 ahli di laman Facebook tersebut yang boleh dipengaruhi untuk tidak mengundi saya," katanya.
Pada PRU12, Chua yang ketika itu mewakili BN menang di DUN Mentakab dengan majoriti 2,439 undi tetapi tewas pada PRU13 dengan 1,554 undi.
#Bebas #BN #DAP #MCA #mentakab #Pahang #Pakatan Harapan #PRU12 #PRU14 #temerloh
;