Cadangan tubuh gagasan besar, pemimpin GPS kata tak perlu

Astro Awani
Disember 13, 2020 16:20 MYT
Abdul Karim menyifatkan cadangan menandatangani piagam bagi mewujudkan gagasan politik besar boleh menghakis kepercayaan antara pihak yang terlibat. - Foto BERNAMA.
KUCHING: Cadangan penubuhan gagasan besar seperti disuarakan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendapat reaksi Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Bagi Abdul Karim, perkara itu tidak perlu kerana ia seolah-olah menggambarkan tiada kepercayaan antara satu sama lain.
“Kita sudah mengenali satu sama lain. Kita membentuk kerajaan bersama iaitu Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan GPS.
“Adakah kita perlu menandatangani perjanjian kerana ia hanya mencerminkan ketidaksefahaman,” ujarnya.
Tambah Abdul Karim, PN tidak perlu bimbang kerana GPS tiada hasrat untuk bertanding di semenanjung.
Sebaliknya fokus GPS hanya pada Sarawak dan pada masa yang sama mahukan kerajaan persekutuan yang stabil.
“Anda jaga wilayah anda, kami jaga wilayah kami.
“Kami menyokong Perikatan Nasional kerana kami mahukan kerajaan yang stabil supaya ekonomi berkembang dengan baik,” ujarnya.
Turut senada dengan Abdul Karim, Ketua Penerangan PBB Datuk Idris Buang.
Menurutnya cadangan penubuhan muafakat politik besar itu bukan satu idea yang baik dan praktikal untuk Sarawak.
Idris mengingatkan mengenai pengalaman Sarawak bersama Barisan Nasional (BN) sebelum ini apabila terpaksa akur dengan pendirian gabungan itu.
“Kita tidak mahu terikat seperti bersama BN dahulu.
“Kita mahukan kebebasan dan GPS adalah penyelesaian terbaik untuk Sarawak dan ia perlu dikekalkan,” tegasnya.
Baca: PN, BN dan GPS perlu bermuafakat, wujudkan satu gagasan besar - Hamzah Zainudin
#Sarawak #Abdul Karim #Hamzah Zainuddin #PBB #GPS #PPBM #Barisan Nasional
;