Cadangan tiga TPM: 'Biar menang PRU dulu' - Ismail Sabri

Madiha Abdullah
Oktober 24, 2022 19:00 MYT
Ismail Sabri berkata belum ada nama untuk mengisi jawatan terbabit sebaliknya memberi tumpuan penuh untuk memenangi PRU15. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata cadangan Barisan Nasional untuk melantik tiga timbalan perdana menteri (TPM) jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, mesti dijadikan manifesto terlebih dahulu sebelum ia boleh dilaksanakan.
Beliau berkata, parti itu belum membincangkan mana-mana nama untuk mengisi jawatan terbabit sebaliknya memberi tumpuan penuh untuk memenangi PRU15 terlebih dahulu.
"Tidak tahu lagi (calon TPM), biar kita menang PRU dulu. Kalau perkara ini ada dalam manifesto kita, tentu saja kita akan pastikan ia dilaksanakan.
"Walau bagaimanapun, kita tunggu menang dulu, baru kita bincangkan. Tentu saja kalau kita teruskan dengan cadangan manifesto ini, kita akan dapatkan nama dari wakil Sabah dan Sarawak," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Ekspresi@Finas di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), pada Isnin.
Ikuti semua perkembangan mengenai PRU15 DI SINI!
Beliau yang juga Naib Presiden BN turut tidak melihat kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan cadangan berkenaan cuma janji politik, sebagai isu besar.
"Itu pandangan Pas. Biarlah dia dengan pandangan dia, kita dengan pandangan kita," katanya ringkas.
PRU15 | Zahid cadang tiga jawatan TPM dalam Manifesto Sabah
Terdahulu, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, jawatan tiga TPM akan diwujudkan jika BN muncul dominan untuk membentuk kerajaan Persekutuan pada PRU-15 nanti.
Beliau dikatakan memberi jaminan akan melantik wakil dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung mengisi jawatan itu akan dimasukkan dalam manifesto BN.
#ismail sabri yaakob #Timbalan Perdana Menteri #PRU15 #Malaysia Memilih
;