Cadangan SOP PRN Johor: Jangan benarkan kempen di kedai makan - Pakar
Azyyati Ahmad
Februari 9, 2022 10:43 MYT
Februari 9, 2022 10:43 MYT
KUALA LUMPUR: Jangan benarkan kempen pilihan raya dilakukan melibatkan aktiviti makan dan minum atau yang memerlukan pembukaan pelitup muka.
Itu cadangan Pakar Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan Dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman, terhadap penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) yang boleh dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semasa Pilihan Raya Negeri Johor.
Tegasnya, mengambil kira lonjakan kes dari varian Omicron ketika ini, adalah lebih baik untuk kempen PRN Johor diadakan dengan selamat dan berjaga-jaga.
“Yang paling penting adalah mengelakkan sebarang aktiviti yang menyebabkan kita perlu membuka pelitup muka, ini melibatkan aktiviti makan dan minum misalnya, atau kempen rumah ke rumah yang perlu dielakkan sehingga membuka penutup muka. Aktiviti yang melibatkan kempen sebaiknya dan sepatutnya tidak disarankan atau dilarang.
"Di samping itu juga, kempen secara virtual perlu digalakkan, tapi SOP itu boleh dilonggarkan di sesetengah tempat yang tidak mempunyai liputan internet yang baik. Tapi ia boleh diberi perhatian oleh masyarakat setempat agar SOP dipatuhi," katanya.
Prof Malina juga bersetuju sekiranya SPR menaikkan jumlah denda kepada bukan sahaja kepada individu malah parti yang ingkar SOP sepanjang PRN Johor berlangsung.
“Mengikut undang-undang, kita boleh mengenakan denda, bukan sahaja kepada individu, tetapi parti juga boleh dikenakan denda sekiranya melakukan kesalahan.
"Dalam konteks itu, saya berpandangan masyarakat yang akan mengundi dan turun kepada kempen perlu dilindungi dan berhati-hati. Dalam kita melaksanakan PRN ini, adalah penting untuk kita mematuhi arahan yang telah dikeluarkan, dan sebagai pemimpin, perlulah menunjukkan teladan yang baik,” katanya lagi.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein ada menjelaskan bahawa SOP PRN Johor akan ditetapkan oleh SPR dan bukannya kerajaan.
Katanya, kerajaan hanya boleh memberi pandangan mengenai pelaksanaan SOP itu, namun keputusan terakhir adalah terletak di tangan SPR.