Cadangan rundingan 27 kerusi kritikal UMNO dan Pas perlu diberi perhatian - Ismail Sabri

Fareez Azman
September 8, 2022 04:06 MYT
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan memaklumkan parti itu terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO berhubung 27 kerusi kritikal menjelang PRU15 akan datang. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Cadangan agar perbincangan dijalankan di antara UMNO dan Pas mengenai 27 kerusi kritikal menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang perlu diberi perhatian.
Jelas Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO, cadangan terbabit perlu dikaji secara rasmi oleh UMNO dan sebarang keputusan hanya akan dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sekiranya mereka bersetuju.
"Itu satu cadangan yang perlu diberi perhatian supaya tidak berlaku pertembungan di dalam kerusi kritikal, kalau berlaku pertembungan mungkin boleh memenangkan parti pembangkang.
"Pakatan Harapan (PH) akan dapat kelebihan jika ada pertembungan Barisan Nasional (BN) dan Pas. Ini satu cadangan saya rasa boleh diberi pertimbangan.
"Kalau kita dapat tahu kalau berlaku pertembungan, PH akan menang di kawasan itu, kenapa kita nak beri kemenangan percuma kepada mereka. Jadi boleh kita kaji dari segi cadangan itu," katanya ketika mengulas mengenai cadangan terbabit daripada daripada Pas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pameran Halal Antarabangsa Malaysia Edisi ke-18, MIHAS 2022 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarbangsa (MITEC) di ibu negara pada Khamis.
Bagaimanapun tegas Ismail Sabri, apa sahaja keputusan hanya akan dibuat secara rasmi oleh parti.
"Tapi apa-apa keputusan parti mesti diputus dalam mesyuarat MKT, MKT perlu bincang dan kalau bersetuju boleh melantik wakil mengadakan rundingan
"Bagi saya apa sahaja rundingan mesti dilakukan secara rasmi dan diputuskan oleh parti melalui MKT," katanya lagi.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan memaklumkan parti itu terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan UMNO berhubung 27 kerusi kritikal menjelang PRU15 akan datang.
Jelasnya, kesemua kerusi terbabit telah dimenangi oleh Pakatan Harapan (PH) dalam PRU lalu.
#Ismail Sabri #PRU15 #kerusi Pas UMNO #rundingan kerusi