Cadangan Pilihan Raya Negeri di Kelantan lucu - Datuk Ibrahim Ali

Astro Awani
Julai 30, 2016 11:57 MYT
Datuk Ibrahim (gambar) secara sinis menganggap apa yang dilakukan oleh UMNO Kelantan itu sebagai gesaan nafsu yang tidak sepadan dengan kemampuan. -Gambar fail
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali menganggap cadangan UMNO Kelantan supaya PAS Kelantan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan sebagai lucu dan nakal.
Datuk Ibrahim secara sinis menganggap apa yang dilakukan oleh UMNO Kelantan itu sebagai gesaan nafsu yang tidak sepadan dengan kemampuan.
"Kerana Pulau Pinang sedang riuh memperkatakan snap election, maka nafsu UMNO Kelantan tiba-tiba naik.
"Ia ibarat lelaki yang belum pulih tenaga batin, belum dapat izin isteri pertama sudah tekad untuk tambah isteri kedua sekali gus, sungguh luar biasa nafsu seumpama ini.
"Mungkin dorongan kerana PAS berpecah dan wujud AMANAH sebagai pemecah undi. Jika inilah perhitungannya, kalau dari sudut ilmu hisab, jawabnya dapat 'F' lah," kata beliau dalam satu kenyataan media hari ini.
Katanya, rakyat Kelantan mengundi berdasarkan perkembangan politik nasional, dan mutakhir ini isu semasa hangat diperkatakan oleh rakyat di Negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ujar Datuk Ibrahim, bukan penanda aras sokongan rakyat kepada BN di seluruh negara.
"Waktu BN kuat dan menang seluruh negara, PAS tetap menang di Kelantan. Lupakah sejarah?
"Apatah lagi sekarang isu GST, 1MDB dan lain-lain sudah cukup. Ratusan ribu rakyat Kelantan berada di Lembah Klang, sebab itu mereka dipengaruhi isu nasional," katanya lagi.
Datuk Ibrahim juga berkata sehebat mana pun calon yang ditampilkan BN di Kelantan, ia tidak dapat menandingi calon-calon PAS yang lebih disenangi rakyat negeri itu.
Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata beberapa kerusi parlimen di Kelantan seperti Ketereh, Machang dan Tanah Merah dimenangi BN kerana bertanding melawan calon PKR.
Selain itu, kerusi Parlimen Jeli dan Gua Musang dimenangi BN kerana calonnya seorang menteri dan bekas menteri yang berpengaruh di kawasan tersebut.
"Di Ketereh dan Jeli pun nasib baik ada kem tentera, jika tidak masak juga," katanya lagi.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakob mencadangkan agar DUN Kelantan dibubarkan untuk membolehkan Pilihan Raya Negeri diadakan.
Hujah Datuk Ahmad Jazlan, Kerajaan Pas Kelantan kini sedang berdepan dengan krisis kepimpinan dan perlu mengadakan Pilihan Raya Negeri untuk mendapatkan kembali sokongan rakyat.
#DUN #Ibrahim Ali #PERKASA #Pertubuhan Pribumi Perkasa #pilihan raya negeri #UMNO Kelantan
;