Cadangan Muhyiddin hanya untuk kepentingan peribadi - Dr Shamsul Amri

Harits Asyraf Hasnan
Disember 8, 2015 15:25 MYT
Cadangan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jawatan Presiden UMNO dihadkan kepada dua penggal dilihat sebagai mempunyai kepentingan peribadi. -Gambar fail
Cadangan Timbalan Presiden UMNO Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jawatan Presiden UMNO dihadkan kepada dua penggal dilihat sebagai mempunyai kepentingan peribadi.
Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berpandangan sepatutnya cadangan tersebut dikemukakan Muhyiddin ketika beliau masih lagi berada di dalam Kabinet.
"Dia (Muhyiddin) boleh berikan cadangan, soalnya cadangan yang diberikan apabila dia sudah keluar dari Kabinet dan walaupun dia masih dalam parti dan banyak cara dia boleh lakukan, tetapi mengapa cadangan baru datang sekarang?
"Mengapa (Tun Dr) Mahathir dibiarkan berpuluh kali? Jadi saya rasa cadangan-cadangan ini cadangan yang hanya memenuhi kehendak dia, bukan kehendak UMNO, dan isu ini timbul ketika dia telah gagal dan bukannya dia berjaya," kata Shamsul Amri ketika dihubungi Astro AWANI di sini, hari ini.
Justeru, katanya, cadangan yang dibawa oleh Muhyiddin itu mungkin tidak akan mendapat perhatian daripada mana-mana pihak kerana ia dilihat sebagai satu penentangan di luar parti yang akan mewujudkan krisis dalaman.
Muhyiddin melontarkan cadangan itu pada Majlis Khas 'Bersama Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin' yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini semalam.
Ditanya sama ada Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan menjadi medan genting perdebatan perwakilan, kata Shamsul, isu-isu semasa seperti krisis pengurusan kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dana politik RM2.6 bilion akan mengambil tempat.
"Semuanya akan disentuh, tetapi ia tidak disentuh dalam erti kata meminta laporan jenayah dan sebagainya. Ia akan disentuh oleh ahli-ahli sama ada secara langsung atau secara tidak langsung.
"Kalau tidak disentuh oleh ketua-ketua sayap, ia akan disentuh oleh beberapa perwakilan yang merasakan tidak puas hati mereka; malah Perdana Menteri juga telah mengulas berkenaan perkara sama di akhbar hari ini," jelas Shamsul Amri.
Perhimpunan Agung UMNO ke-69 akan membuka tirai pada Khamis ini dan akan berakhir pada 12 Disember.
#Dr Shamsul Amri Baharuddin #dua penggal #Majlis Profesor Negara #Muhyiddin Yassin
;