Cadangan kuota 30 peratus kerusi pilihan raya kepada wanita belum dibentang - Wan Azizah
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 14, 2019 14:52 MYT
Januari 14, 2019 14:52 MYT
Parti Keadilan Rakyat (PKR) sedia menimbang untuk memperuntukkan kuota 30 peratus kerusi pilihan raya kepada calon wanita.
Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata perkara itu telah dibangkitkan secara lisan sebelum ini namun setakat ini, ia belum dikemukakan secara rasmi kepada parti.
“Mereka belum bentangkan cadangan itu. Kami akan teliti semula apabila cadangan itu dibentangkan,” katanya ketika ditemui selepas majlis pelancaran Program Hentikan Halangan untuk Melakukan Skrin Serviks (ROSE) di ibu negara pada Isnin.
Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin yang mencadangkan perubahan sistem pilihan raya negara dengan mewujudkan kuota 30 peratus kerusi kepada calon wanita.
Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini dilaporkan berkata, cadangan tersebut termasuk dalam reformasi pilihan raya yang dicadangkan oleh Wanita PKR.
Terdahulu Ketua Wanita PKR, Haniza Mohd Talha berkata sayap itu akan mengemukakan satu lagi cadangan iaitu ‘kerusi tanpa kawasan pilihan raya’ yang membolehkan anggota Parlimen wanita dilantik tanpa melalui pilihan raya/
Reformasi sedemikian bagi membolehkan lebih ramai anggota Parlimen wanita dilantik dan mencapai sasaran 30 peratus golongan itu terlibat dalam politik.
Sejak PH memenangi PRU ke-14, peratusan anggota parlimen wanita adalah pada kadar 13 peratus berbanding 10 peratus ketika pemerintahan kerajaan terdahulu.
#Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
#kuota
#Parti Keadilan Rakyat
#pilihan raya
#PKR
#Zuraida Kamaruddin