Cadangan gugur had perbelanjaan parti politik tidak wajar - Penganalisis
Tan Su Lin
Oktober 2, 2016 16:37 MYT
Oktober 2, 2016 16:37 MYT
Cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) supaya had perbelanjaan ke atas parti dan calon digugurkan adalah tidak wajar.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Ahmad Martadha berkata, situasi itu hanya memberi kelebihan kepada pihak yang mempunyai sumber kewangan yang banyak.
"Saya tidak bersetuju dengan cadangan itu, kerana kalau kita lihat di Amerika Syarikat sekalipun, ada had-had tertentu bagi seseorang itu untuk berbelanja dalam mana-mana pertandingan dalam pilihan raya.
"Ini penting kerana kita tidak mahu seseorang calon itu mempunyai kelebihan tertentu. Misalnya mungkin beliau mempunyai sumber kewangan yang besar, maka itu akan beri kelemahan kepada pihak lawan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI, hari ini.
Justeru, katanya harus ada cadangan di mana had siling perlu diletakkan kepada perbelanjaan seseorang di dalam mana-mana pertandingan pilihan raya.
Dr Ahmad berkata demikian sebagai mengulas 32 cadangan dari JKNMPP bagi menyelesaikan isu melibatkan dana politik.
Antara cadangan yang dikemukakan jawatankuasa itu adalah supaya had perbelanjaan ke atas parti dan calon digugurkan.
Pada masa sama, Dr Ahmad Martadha menerima baik cadangan agar semua parti politik melaporkan sumbangan yang bernilai lebih dari RM3,000 yang diterima daripada sumber sama.
"Kita tidak mahu nanti dalam konteks pilihan raya umum sebelum ini (kadang-kala) ada sumbangan terutamanya dari luar (yang) kita tidak tahu sumbernya dan ini akan menyebabkan mereka yang beri sumbangan itu menguasai mana-mana parti dan calon yang menang dalam pilihan raya itu nanti," katanya.
Selain itu, cadangan agar agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan dilarang memberi sumbangan kepada parti politik juga wajar bagi mengelak konflik berkepentingan.
Namun, ujar beliau, apa yang lebih penting ialah wujudnya perbincangan melibatkan semua parti politik berhubung pelaksanaan cadangan berkenaan bagi memastikan peraturan itu dipatuhi semua pihak.
"Sebelum cadangan ini dilaksanakan, perlu ada perbincangan antara parti-parti politik di negara ini. Langkah ini penting supaya tidak wujud unsur pihak yang masih cuba menyembunyikan sesuatu atau berkata mereka tidak tahu-menahu tentang perkara ini atau cuba mencari kelemahan dalam peraturan ini nanti.
"Selain itu, kita juga perlu memastikan usaha ini mendapat komitmen daripada semua parti politik. Kita tidak mahu cadangan ini hanya tinggal cadangan sahaja tetapi tidak ada komitmen sepenuhnya," tambahnya.