Cadangan Ahmad Maslan: Perbaiki sistem bukan menghukum rakyat - Bersih 2.0

Firdaus Azil
Oktober 1, 2021 15:39 MYT
Bersih 2.0 berkata, biarpun untuk menggalakkan rakyat turun mengundi, ia adalah tidak selari dengan prinsip kebebasan memilih oleh rakyat.
KUALA LUMPUR: Cadangan agar denda antara RM100 hingga RM200 untuk pengundi yang tidak melaksanakan tanggungjawab sewaktu pilihan raya adalah tidak wajar, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0).
Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih 2.0 berkata, cadangan Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan itu, biarpun untuk menggalakkan rakyat turun mengundi, ia adalah tidak selari dengan prinsip kebebasan memilih oleh rakyat.
Menurut gabungan itu lagi, meski penyertaan rakyat sangat asasi dalam proses pilihan raya dan menjadi hak yang sakral, namun mereka juga mempunyai hak untuk tidak turun mengundi dalam pilihan raya.
”Berbanding menghukum mereka yang tidak turun mengundi, tumpuan yang lebih utama adalah dengan kerajaan menyediakan akses pengundian yang lebih baik kepada rakyat agar mereka dapat turun menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Kaedah yang sekadar menghukum tanpa menyediakan prasarana, bantuan dan peluang yang lebih baik kepada rakyat hanya akan menyebabkan rakyat hilang keyakinan kepada proses demokrasi dan pilihan raya,” kata Bersih 2.0.
BACA: Ahmad Maslan saran wajibkan keluar mengundi, kenakan denda
Pilihan Raya | Wajibkan keluar mengundi, kenakan denda
Ahmad sewaktu perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Dewan Rakyat pada Khamis menyarankan pindaan perlembagaan bagi mewajibkan semua individu yang layak mengundi untuk keluar menjalankan tanggungjawab mereka pada pilihan raya.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 22 negara telah mewajibkan rakyat mereka untuk keluar mengundi, termasuk di Singapura dan Thailand.
"Kenapa saya katakan kita perlu pinda perlembagaan dan wajibkan rakyat Malaysia mengundi... lima tahun sekali (pilihan raya umum), tak pergi mengundi, apa ke bendanya ini... bukan sebulan sekali," kata Setiausaha Agung UMNO itu lagi.
Mengulas lanjut, Bersih 2.0 berkata, pendekatan menghukum tidak wajar digunakan sekiranya kerajaan atau mana-mana pihak inginkan peratusan keluar mengundi dengan lebih tinggi.
Sebaliknya, jelas mereka lagi, kerajaan perlu bersiap sedia mendidik rakyat dengan program-program pendidikan pengundi seperti kepentingan mengundi, proses pengundian dan prinsip-prinsip demokrasi.
Bersih 2.0 berkata, perkara berikut perlu dilaksanakan segera bagi menyediakan sistem yang lebih baik untuk membantu rakyat keluar mengundi:
1. Penetapan tarikh pilihan raya
2. Penambahbaikan kemudahan infrastruktur untuk OKU
3. Pemanjangan tempoh pengundian
4. Peluasan kategori undi tidak hadir kepada pengundi yang berada di luar kawasan
5. Penambahan pusat pengundian dan saluran pengundian untuk mengelakkan masa beratur yang lama. Pusat pengundian bergerak juga boleh dilaksanakan terutama pengundi di kawasan pedalaman.
Selain itu, Bersih 2.0 berkata, isu penguatkuasaan hukuman juga bakal menjadi isu besar kepada badan penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengeluarkan saman kepada pemilih yang tidak turun mengundi.
“Pilihan raya dan proses-prosesnya memerlukan penyertaan rakyat, dan rakyat hanya akan yakin kepada pilihan raya sekiranya sistem pilihan raya bersih dan adil dengan menyediakan padang yang sama rata kepada semua pihak yang bertanding.
“Di samping itu, kelemahan-kelemahan dalam sistem politik yang menyebabkan wakil rakyat sewenangnya melompat parti dan mengkhianati mandat pilihan raya juga wajib diperbaiki dengan segera,” menurut kenyataan itu lagi.
Bersih 2.0 berkata, ahli-ahli politik perlu fokus mengembalikan keyakinan rakyat kepada sistem politik dan demokrasi dengan memperbaiki kelemahan-kelemahan yang menyebabkan perubahan kerajaan pertengahan penggal akibat lompat parti.
Selain itu ia berkata, ahli politik perlu memberikan alasan kukuh bagi memastikan rakyat terus percaya dan berasa tidak rugi untuk mengundi dalam pilihan raya.
#Bersih 2 0 #denda pengundi #Ahmad Maslan #Suruhanjaya Pilihan Raya
;