Cabaran debat AMK: Nik Nazmi, cukup-cukuplah buat cabaran lapuk - Azwan Bro
Wan Syamsul Amly
Februari 18, 2015 19:00 MYT
Februari 18, 2015 19:00 MYT
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad disaran berhenti menggunakan taktik lapuk apabila mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaludin atau pendakwaraya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berdebat mengenai hukuman liwat ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, cabaran itu sekali gus disifatkan tidak lagi relevan pada saat Umno dan Barisan Nasional (BN) sabar menanti kira-kira enam tahun sebelum selesai kes liwat Anwar demi menghormati perundangan negara.
"Shafee secara sukarela mahu menjelaskan cerita sebenar jadi kita tawar pentas Pemuda kepadanya.
"Tidak timbul soal menggunakan Shafee, selepas enam tahun kita diam kerana menghormati proses perundangan negara, kini tiba masa kami untuk menjelaskan semuanya kepada rakyat," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khairul Azwan mengulas dakwaan Nik Nazmi yang menyifatkan Khairy terdesak dengan menggunakan Shafee sebagai 'alat' untuk mendapatkan kepercayaan rakyat di dalam siri isu liwat Anwar ke seluruh negara.
Nik Ahmad turut dilaporkan berkata, kesediaan Shafee untuk bersama program tersebut bukan sahaja merupakan satu tindakan yang tidak wajar, malah merendahkan martabat sistem kehakiman dan Jabatan Peguam Negara.
Tegas Khairul Azwan, Pemuda Umno juga tidak berminat malah tidak mahu mengendahkan langsung cabaran Nik Nazmi yang disifatkan hanya sia-sia jika disahut.
"Inilah waktu kita turun padang memperjelaskan tuduhan dan juga memberitahu cerita sebenar terhadap dakwaan mereka kononnya isu ini merupakan konspirasi BN dan Umno.
"Tidak guna jika menghabiskan masa untuk berdebat dengan orang yang sentiasa menipu dan lari dari fakta sebenar.
"Kita rasa AMK harus menerima cadangan Pemuda Umno supaya mereka pergi berdebat dengan peguam-peguam Anwar yang gagal membela ketua mereka sendiri," jelasnya.
Dalam pada itu kata Khairul Azwan, nilai pembangkang kini kelihatan sangat murah dengan berselindung di sebalik Majlis Peguam di dalam setiap tindakan mereka.
"Cerminlah diri sendiri. Tidak payah hendak menuduh semberono jika diri sendiri tidak betul dan menggunakan Majlis Peguam sebagai pelindung," ujarnya.
Pada 10 Februari lepas, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar.
Anwar kini menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan meliwat Saiful Bukhari hampir tujuh tahun lalu.