Cabar keputusan PRU15: BN akan fail petisyen di Parlimen Marang, Kemaman, Kuala Terengganu
Hasimi Muhamad
Januari 15, 2023 18:08 MYT
Januari 15, 2023 18:08 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan memfailkan petisyen di tiga kerusi Parlimen di Terengganu bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ketiga-tiga kerusi berkenaan melibatkan Parlimen Marang, Kemaman dan Kuala Terengganu yang dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Dalam satu jemputan sidang media, semua petisyen pilihan raya berkenaan pertuduhan rasuah yang didakwa dilakukan PN pada PRU15.
Perincian berhubung petisyen berkenaan akan dimaklumkan oleh Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan barisan peguam pada jam 12.30 tengah hari esok.
Sidang media tersebut dijadual diadakan di ibu pejabat UMNO di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Sebelum ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata gabungan itu akan memfailkan petisyen pilihan raya di beberapa kerusi bagi mencabar keputusan PRU15, selain mengesahkan petisyen itu mempunyai asas untuk difailkan.
Pada PRU15 lalu, kerusi Parlimen Kemaman dimenangi calon Pas, Che Alias Hamid menewaskan tiga calon lain termasuk Ahmad Said mewakili BN dengan majoriti 27,179 undi.
Parlimen Marang pula dimenangi Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dengan majoriti 41,729 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Manakala Parlimen Kuala Terengganu kekal disandang Pas apabila calonnya, Datuk Amzad Hashim memperoleh majoriti 40,907 undi menewaskan tiga pencabar lain.