Bung Moktar nafi keluarkan kenyataan menyokong kerajaan GRS
Radhi Muslim
April 11, 2023 20:04 MYT
April 11, 2023 20:04 MYT
KINABATANGAN: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin menafikan mengeluarkan kenyataan terbaru yang beliau kembali menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagaimana yang disiarkan sebelum ini.
Menurut Bung, sebelum ini Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Zambry Abd Kadir pernah mengeluarkan kenyataan BN memberikan sokongan kepada kerajaan GRS pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dengan mengambil kira ketetapan di peringkat persekutuan yang membentuk Kerajaan Perpaduan untuk
“Perbincangan telah dilakukan oleh Sekretariat Tetap Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menyelaras semua parti yang mengasaskanya dan di Sabah kita diwakili oleh Timbalan Ketua UMNO Sabah sebelum ini Datuk Yakub Khan.
“Bagaimanapun sehingga ke hari ini, tidak ada resolusi yang dicapai malah pemecatan penjawat jawatan awam lantikan politik dari UMNO terus dilakukan. Apakah ini yang dimaksudkan Kerajaan Perpaduan?” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa, bagi menjawab laporan berita Astro AWANI yang melaporkan beliau membuat kenyataan UMNO Sabah menyokong GRS semula.
Menurut Bung yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, apa yang beliau perjelaskan kepada media, tercetus kekeliruan khususnya dalam kalangan ahli parti apabila pemimpin UMNO yang masih berada dalam kerajaan PGRS sekarang.
Bagaimanapun mereka tidak dapat membuat sokongan secara terbuka dan menandatangani akuan bersumpah (SD), tegasnya.
“Pemimpin yang dipecat oleh UMNO kerana mereka menyokong secara terbuka dan menandatangani akuan bersumpah (SD), dan telahpun mengisytiharkan mereka keluar dari UMNO,” katanya.
Menurut beliau, sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO dan BN Sabah beliau tidak dapat memberikan komen siapa yang Ketua Menteri lantik dan pecat dari UMNO dari kebinet atau pejawat awam lantikan politik.
“Kerana itu hak beliau, Ketua Menteri, siapa yang beliau mahu lantik dan pecat... bagaimanapun tindakan ini sebenarnya tidaklah melambangkan konsep Kerajaan Perpaduan yang sebenarnya, justeru bagaimana kita boleh menzahirkan sokongan jika begini keadaannya.
“Inilah persoalan yang timbul sekarang... bagaimana kita boleh melestarikan konsep Kerajaan Perpaduan di Sabah, kita suka lantik, tidak suka pecat.
“Suasana ini tidak akan mewujudkan kestabilan politik khususnya di Sabah, dan bagi UMNO kita tenang sahaja tidak perlu seperti peribahasa “hidung tak mancung pipi pula yang tersorong-sorong,” jelas Bung.
Terdahulu, Astro AWANI melaporkan UMNO Sabah memberi sokongan semula kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).