Bung Moktar bohong bila nafi lobi wakil rakyat keluar parti - Ketua Penerangan Warisan

Ruzaini Zulkepli
Jun 26, 2020 15:15 MYT
Dr Yusof berkata, setakat ini Adun-Adun Warisan mengetahui mereka sedang 'diburu' oleh pihak tertentu namun tidak diendahkan. - Gambar Fail
Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Dr Yusof Yacob menempelak kenyataan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menafikan pihaknya melobi wakil rakyat Warisan agar keluar parti.
Dr Yusuf menyifatkan penafian Bung Moktar berhubung dakwaan melobi wakil rakyat Warisan keluar parti sebagai satu pembohongan.
Katanya, penafian yang dibuat oleh Bung Moktar itu umpama sebagai 'orang berak tepi jalan tetapi tidak mengaku'.
"Mereka sekarang menempelak Parti Warisan dan menafikan tiada melobi ADUN Warisan untuk keluar parti.
"Ini juga statement bohong beliau dan cuba tutup kesalahan sendiri, ini ibarat 'orang berak tepi jalan, mana dia mengaku'. Dia cuba tetapi tidak kena layan dan gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut lagi, Dr Yusof berkata, setakat ini Adun-Adun Warisan mengetahui mereka sedang 'diburu' oleh pihak tertentu namun tidak diendahkan.
"Ini kerana mereka (Adun Warisan) tahu keadaan semasa.
"Mereka lebih tumpukan perhatian kepada tugas dan membela rakyat yang sudah lama susah akibat kepimpinan dulu," katanya.
Terdahulu, Bung Mokhar dalam sidang medianya di Pejabat UMNO Negeri Sabah pada 20 Jun lalu menempelak Warisan sebagai 'talk rubbish' berhubung dakwaan wujudnya usaha melobi di kalangan wakil rakyat mereka untuk keluar parti.
Ini susulan kenyataan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendedahkan wujudnya cubaan melobi wakil rakyat dari kalangan parti pemerintah negeri supaya menyertai blok pembangkang.
#ADUN #Bung Moktar Radin #Dr Yusof Yacob #Mohd Shafie Apdal #Parti Warisan Sabah #Sabah #UMNO #wakil rakyat #Warisan
;