Bukan Tun M, tapi ahli Pejuang mahu Mukhriz jadi Perdana Menteri - Khairuddin

Astro Awani
Julai 15, 2021 11:56 MYT
Kata Khairuddin, isu Mukhriz sebagai calon Perdana Menteri yang diperkatakan oleh Dr Mahathir itu bukan mengenai soal anaknya sebagai pengganti jawatan berkenaan. - Gambar fail BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan antara calon Perdana Menteri adalah anaknya, Datuk Seri Mukhriz merupakan kehendak ahli parti Pejuang dan bukan atas kapasiti peribadi.
Ketua Pejuang Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menegaskan, isu yang diperkatakan bekas Perdana Menteri itu bukan mengenai soal anaknya sebagai pengganti jawatan berkenaan.
"Kami pernah bersuara bahawa sama ada Dr Mahathir setuju atau tidak, selepas ini ahli-ahli Pejuang akan melonjakkan presiden parti sebagai calon berpotensi bagi menjawat jawatan ketua nombor satu negara.
"Ini bukan soal ahli keluarga atau isu anak-pinak. Seandainya generasi kedua itu mempunyai pakej serta kualiti yang mencukupi maka sebagai pemimpin mahupun ahli Pejuang, kami akan tetap memasarkan Muhkriz untuk berada di barisan tokoh-tokoh pemimpin berpotensi di masa akan datang.
"Mukhriz mempunyai ciri-ciri tersebut. Jadi apa masalahnya sekiranya ayahanda beliau bercakap mengenai perkara tersebut bagi pihak ahli Pejuang?" katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum ini, Dr Mahathir dilaporkan berkata, terdapat tiga atau empat calon atau mungkin lebih yang berpotensi menjadi Perdana Menteri pada masa akan datang.
Antara calon tersebut adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali dan Mukhriz.
Pengerusi Pejuang itu bagaimanapun menegaskan tidak percaya dengan memilih hanya seorang kerana calon-calon itu perlu bersaing untuk mendapat jawatan nombor satu dalam kerajaan.
Dalam pada itu kata Khairuddin, keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim juga mempunyai isteri dan anak dalam hirarki politik semasa negara.
"Kita tidak pernah mempertikaikan kebolehan serta kelayakan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahupun Nurul Izzah untuk berada di persada politik di samping suami mahupun bapanya.
"Malahan, Dr Mahathir pernah melantik Dr Wan Azizah sebagai Timbalan Perdana Menteri.
"Bagi saya mereka layak dan boleh menyumbangkan kebaikan kepada pembangunan negara, jadi apa salahnya?" soal Khairuddin lagi.
Khairuddin turut berkata, anak-anak pemimpin DAP seperti mendiang Karpal Singh serta ahli keluarga Lim Kit Siang turut berada salam situasi sama.
#Pejuang #DAP #PKR #Perdana Menteri #Parlimen #Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #calon perdana menteri #Azmin Ali
;