"Bukan saya luluskan" - Anwar arah papan iklan Malaysia Madani tidak lagi dipasang

Abd Hadi Che Awang
April 29, 2023 15:16 MYT
Anwar beramah mesra dengan tetamu ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, di sebuah hotel di sini, pada Sabtu. - Gambar/ Astro AWANI
ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan, papan iklan yang menampilkan gambarnya dan teks Kerajaan Madani tidak lagi dipasang di seluruh negara.
Menurut beliau, papan iklan berkenaan sebelum ini dipasang tanpa kelulusan dan persetujuan beliau termasuk ketika lawatannya di sekitar Bandaraya Alor Setar.
Tambah Anwar, beliau difahamkan oleh jabatan yang terlibat bahawa pemasangan papan iklan berkenaan adalah menggunakan peruntukan yang dikeluarkan pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Sehubungan itu, atas dasar dan pendirian baharu Kerajaan Madani, pemasangan papan iklan baharu tidak akan dibuat selepas ini dan peruntukannya akan digunakan untuk tujuan lain yang lebih bermanfaat.
"Jadi saya (telah) arahkan semua 'billboard' (yang tampilkan saya serta tulisan Kerajaan Madani) yang baharu (selepas ini) dihentikan, kekal yang (sedia) ada sahaja dan saya tidak mahu ini diteruskan kerana ia menunjukkan satu pendirian Kerajaan Madani, hormatinya.
"(Sebelum ini ia dipasang) kerana pegawai yang terlibat itu merasakan ini hanya meneruskan dasar yang sedia ada, kebetulan saya tidak dimaklum (berkaitan itu) dan saya tidak boleh beri (sebarang) keputusan.
"Oleh kerana saya sudah dimaklum (pihak terlibat), saya tidak mahu dana kerajaan digunakan untuk buat 'billboard' besar-besar, cukuplah yang ada, tetapi tidak boleh diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani, di sebuah hotel di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Anwar tidak menyalahkan mana-mana agensi kerajaan yang bertanggungjawab memasang papan iklan berkenaan.
#Anwar Ibrahim #papan iklan #billboard Malaysia Madani #Kedah
;