Bukan persoal keputusan MKT, tetapi pertahan keputusan dasar parti - Tun Faisal

Fauzi Suhaimi
Januari 8, 2021 13:39 MYT
Tun Faisal Ismail - perjuangan Annuar juga adalah untuk memperkukuhkan MN selain menyokong PN dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Gambar UMNO Putrajaya
KUALA LUMPUR: Tindakan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa adalah secara jelas untuk mempertahankan keputusan dasar parti iaitu bekerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Malah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, perjuangan Annuar juga adalah untuk memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) selain menyokong Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian, saya tidak mempersoalkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), malah itulah yang dilaksanakan Annuar, iaitu mempertahankan keputusan dasar parti, iaitu bekerjasama dengan Pas dan Bersatu, mengukuhkan MN, menyokong PN dan PM (serta) 'No Anwar, No DAP'.
"Yang dipersoalkan sekarang (adalah) dasar parti jelas 'No Anwar', tapi kenapa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak tandatangan surat sokong dan setia kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim," soalnya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Tegas Tun Faisal Ismail, dasar parti juga jelas iaitu 'No DAP'.
"Tetapi, kenapa Pengarah Pilihan Raya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli MKT seolah-olah menjadi jurucakap DAP dan membawa jajaran politik baharu yang digambarkan akan melibatkan Anwar, PKR dan DAP," katanya.
Terdahulu Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, UMNO mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa tiada kerjasama membabitkan parti itu dengan Anwar dan DAP.
Katanya, sehingga kini MKT meneruskan kelangsungan keputusan dasar parti yang diluluskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2019.
BACA: 'Annuar, jangan kaitkan DAP dalam kemelut politik UMNO' - Guan Eng
BACA: Wujud rundingan UMNO-DAP-Anwar? Ini lima perkara yang anda perlu tahu
BACA: Penggantian Setiausaha Agung BN akan disahkan dalam Dewan Tertinggi BN - Shahril
#Najib Razak #Tajuddin Abdul Rahman #UMNO #Muhyiddin Yassin #Zahid Hamidi #Annuar Musa #Tan Sri Annuar Musa #Parti Keadilan Rakyat #Anwar Ibrahim #politik #Putrajaya #DAP #pilihan raya
;