Bukan MN, tetapi individu tolak MN sedang nyawa-nyawa ikan - Sanusi

Abd Hadi Che Awang
Mei 21, 2022 22:01 MYT
SANUSI: MN ini penting, saya ingat semua orang mahukan (MN), semua mahu penyatuan ummah, yang tidak mahu itu nyawa-nyawa ikan. - Gambar fail/BERNAMA
ALOR SETAR: Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan kerjasama Muafakat Nasional (MN) tidak berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sebaliknya individu yang menolak kerjasama berkenaan berada pada tahap terbabit.
Menurutnya, pimpinan dan akar umbi Pas sentiasa berpegang teguh kepada keputusan yang dibuat kepimpinan tertinggi parti serta Majlis Syura Ulama' untuk memperkasakan MN dan memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN).
"Dia yang (keluarkan kenyataan itu sedang) nyawa-nyawa ikan kot, bukan MN, orang lain nak sahaja MN, saya ingat dua, tiga orang sahaja yang tak mahu MN ini, mereka itu sedang nyawa-nyawa ikan.
"MN ini penting, saya ingat semua orang mahukan (MN), semua mahu penyatuan ummah, yang tidak mahu itu nyawa-nyawa ikan.
"(Di dalam) parti saya (Pas) semua okey, (yang tidak senang duduk adalah individu tertentu di dalam (parti) UMNO," ujar beliau yang juga Menteri Besar Kedah.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri program Santai Anak Utara di Taman Jubli Emas, Alor Setar pada Sabtu.
BACA: Kerjasama MN ibarat 'nyawa-nyawa ikan' - Zahid
Terdahulu, UMNO menyifatkan kerjasama dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN) ibarat 'nyawa-nyawa ikan'.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, masa depan MN biar dibincangkan di peringkat jawatankuasa kedua-dua parti.
Hasil perbincangan itu nanti mungkin dibawa kepada kedua-dua parti untuk diputuskan.
#Muafakat Nasional #UMNO #PAS #MN #Muhammad Sanusi Md Nor #nyawa-nyawa ikan
;