Bukan lagi rahsia, PRN Sarawak berlangsung tidak lama lagi - Abdul Karim
Astro Awani
Oktober 21, 2021 17:19 MYT
Oktober 21, 2021 17:19 MYT
KUCHING: Pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 dalam masa terdekat bukan lagi satu rahsia, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Tambahnya, Suruhanjaya Pililhan Raya (SPR) kini sedang melakukan taklimat dan kursus kepada semua pegawai yang terlibat di seluruh negeri.
‘’Apa yang boleh dijangkakan kerana PRN akan berlangsung dalam masa terdekat.
‘’Melaka akan menghadapi PRN pada November ini dan saya tidak terkejut sekiranya PRN Sarawak juga berlangsung pada bulan sama,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media lawatan ke tapak pembinaan Projek Jalan Pesisir PA 1 di Dewan Kampung Tambirat di sini pada Khamis.
Pada masa sama, apabila ditanya tentang keperluan mendapatkan suntikan lengkap vaksin COVID-19 sebelum kebenaran mengundi diberikan, Karim berkata, hak untuk mengundi terletak pada kad identiti seseorang individu dan bukannya pada aplikasi MySejahtera.
‘’Untuk proses pilihan raya tidak menggunapakai aplikasi MySejahtera dan mesti lengkap dua dos vaksin.
‘’Itu adalah hak setiap warganegara Malaysia yang sudah mendaftar dan layak untuk menjadi pemilih.
‘’Sekiranya ada yang mengatakan anda tidak boleh mengundi kerana belum mendapatkan vaksinasi lengkap maka itu adalah salah. Itu hanya khabar angin sahaja,’’ tambahnya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak itu memberi bayangan bahawa pengumuman pembubaran DUN Sarawak mungkin akan berlaku dalam satu atau dua hari lagi.
Ini selepas desas-desus mengatakan bahawa DUN Sarawak akan dibubarkan dalam masa terdekat.
Khabar angin itu kemudian diperkukuhkan dengan kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang berkata beliau sudah menghadap Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riyatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bagaimanapun Abang Jo berkata, perbincangan tertumpu kepada situasi terkini COVID-19 di Sarawak dan hal berkaitan perintah darurat.
Malah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok berkata perincian mengenai pengumuman tarikh PRN adalah berada di luar bidang kuasanya.
PRN Sarawak | Semakin hampir, rakyat harus bijak menilai - Abang Jo