Bukan koman-koman, PRK Kemaman disifatkan ''battle of honour''

Bernama
November 19, 2023 14:45 MYT
Raja Mohamed Affandi (depan kanan) dari BN dan Ahmad Samsuri dari Pas bergambar setelah diumumkan bertanding bagi kerusi parlimen Kemaman pada Sabtu. - Foto Bernama
KEMAMAN: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, yang merupakan PRK kelima negara dalam tempoh setahun disifatkan sebagai battle of honour yang menjadi medan penting untuk menilai dinamik dan landskap politik negara di masa hadapan.
Dua calon heavyweight yang diletakkan untuk bertanding di sini, indikasi PRK Kemaman, bukannya koman-koman dan sudah tentu dipandang berat parti bertanding, termasuk penyandang Pas sendiri walaupun menang selesa pada Pilihan Raya Umum ke-15 dengan 27,179 majoriti undi.
Dalam usaha merampas kerusi itu, Barisan Nasional (BN) meletakkan individu yang bukan calang-calang, iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera Jen (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, dan sebagai respons, Pas mencalonkan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.
Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM Mujibu Abd Muis berkata pemilihan dua sosok berkenaan untuk PRK itu menunjukkan betapa bersungguhnya kedua-dua parti mahu menang, demi reputasi parti dan sebagai refleksi bahawa mereka masih 'relevan'.
Di pihak BN, katanya mereka sanggup mengambil risiko meletakkan calon langsung yang mempunyai nama besar, Pas pula meletakkan pemimpin nombor satu mereka di negeri itu sebagai jawapan balas untuk mengekalkan status quo.
"Sudah tentu ini satu pertarungan yang serius. Dalam konteks Pas, saya melihat mereka, mahu atau tidak, perlu mempertahankan kawasan itu manakala di pihak BN, sudah tentu mereka juga bersungguh mahu merampas semula kerusi tradisi mereka," katanya.
Mujibu berkata empat PRK sebelum ini iaitu di Pulai, Simpang Jeram, Pelangai dan Jepak menyaksikan kesemuanya dimenangi parti penyandang, jadi keputusan PRK kali ini akan menjadi penanda aras baharu.
Tidak menolak pencalonan kedua-dua individu ini akan menyebabkan kesukaran kepada pengundi untuk membuat pilihan, Mujibu berkata ia berbalik kepada 'selera' pengundi dalam memilih tawaran daripada parti yang bertanding dan kredibiliti Ahli Parlimen untuk wakili mereka di Dewan Rakyat.
Dalam pada itu, Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia Prof Madya Dr Mazlan Ali tidak menolak kebarangkalian BN mampu melakukan kejutan memandangkan calon yang diketengahkan memiliki reputasi yang bukan calang-calang.
"Bekas PAT mungkin boleh menarik 'sesuatu', mungkin boleh memberikan impak kepada BN. Jadi kemungkinan besar, landskap politik ini boleh berubah walaupun pengaruh Perikatan Nasional (PN) di Pantai Timur itu agak kukuh," katanya.
Menurutnya lagi, selain faktor calon heavyweight, rekod prestasi Kerajaan Perpaduan yang meyakinkan sepanjang tahun ini juga boleh menjadi faktor penarik sokongan kepada calon BN di PRK Kemaman.
"Perkembangan kerajaan sekarang kita nampak banyak, termasuk pelaburan yang dibawa masuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sekiranya Kemaman ini diwakili wakil rakyat dari parti sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, mungkin lebih banyak pelaburan boleh dibawa masuk ke Kemaman.
"Ekonomi di Kemaman ini juga akan turut memberi limpahan kepada Terengganu. Kemaman ini dia satu tempat yang sudah bagus dari segi ekonominya dan boleh dikembangkan lagi," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 Nov ini bagi tarikh mengundi awal, manakala 2 Dis bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas Che Alias Hamid pada PRU15.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
Pada PRU15, Parlimen itu menyaksikan Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua lagi calon lain pada PRU15 ialah Hasuni Sudin mewakili Pakatan Harapan yang memperoleh 8,340 undi dan Rosli Ab Ghani calon Parti Pejuang Tanah Air yang mendapat 506 undi.
-- BERNAMA
#PRK Kemaman #Ahmad Samsuri Mokhtar #Raja Mohamed Affandi #PAS #BN #PRU15
;