Bukan isu 'duit rakyat' atau 'duit kerajaan', tapi prinsip kebertanggungjawaban - Annuar
Harits Asyraf Hasnan
Jun 11, 2016 23:30 MYT
Jun 11, 2016 23:30 MYT
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berpandangan tidak wujud isu 'duit rakyat' mahupun 'duit kerajaan' pada masa kini.
Tegasnya, rakyat yang membentuk Kerajaan menerusi pilihan raya berperanan penting untuk bertanggungjawab dan memegang amanah yang diberikan rakyat.
Justeru, beliau menegaskan prinsip kebertanggungjawaban dalam melaksanakan tugas wakil rakyat adalah keutamaan utama hasil demokrasi yang diberikan kepada rakyat.
"Sebenarnya, polemik yang sebegini pada saya tidak begitu relevan kerana yang penting ialah apa sebenarnya subjek yang ada di hadapan kita. Kita (wakil rakyat) adalah 'custodian of the people' (penjaga rakyat). Kalau hendak dikirakan, kita sendiri milik rakyat apabila menjadi wakil rakyat dan kebertanggungjawab kita adalah kebertanggungjawaban kepada rakyat.
"Kebertanggungjawaban itu diterjemahkan dalam bentuk pilihan raya lima tahun sekali, kita kembali kepada rakyat kemudian rakyat membentuk kerajaan dan kemudian apabila rakyat membentuk kerajaan, kuasa itu adalah kuasa kerajaan.
"Jadi saya fikir polemik (isu duit rakyat mahupun duit Kerajaan) tidak perlu dipanjangkan...yang penting adalah prinsip kebertanggungjawaban terhadap apa yang kita lakukan iaitu akhirnya kita bertanggungjawab kepada rakyat dalam konteks pilihan raya dan kebertanggungjawaban kepada Allah SWT secara menyeluruh. Itu prinsip kebertanggungjawaban," katanya kepada media di Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad yang menegaskan duit Kerajaan bukan lagi milik rakyat menerusi laman sosial miliknya baru-baru ini.
Tambahnya, Kerajaan telah menyusun perbelanjaan dengan baik mengikut kemampuan kewangan semasa yang dimiliki.
Tegasnya, isu kononnya Kerajaan berbelanja dengan mewah sepatutnya tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak.
"Sama sekali tidak membawa maksud bahawa kalau kerana itu wang rakyat, pemimpin tidak ada kuasa untuk memutuskan apa yang patut untuk dibuat. Tetapi dalam konteks apa yang cuba digambarkan sekarang ini kononnya kerajaan bermewah, ada pihak-pihak tertentu yang cuba memberi gambaran sedemikian.
"Sebenarnya kita patut melihat dalam konteks kita menguruskan sebuah negara dan ada norma tertentu. Dalam menguruskan sesebuah negara ada norma tertentu. Misalnya ketua negara menggunakan jet peribadi dan orang beranggapan itu mewah. Sebenarnya menggunakan jet peribadi, jet kerajaan atau apa sekalipun itu adalah keistimewaan kepada seorang ketua negara atau perdana menteri.
"Orang tidak fikirkan berapa kos sebab kos itu semuanya adalah soal bajet, belanjawan. Kerajaan lebih tahu apa yang kerajaan mampu, apa yang kerajaan tidak mampu. Kerajaan berbelanja dalam bajet. Bajet itu telah diluluskan oleh Parlimen dan setiap kali Kerajaan berbelanja, ada prosedur-prosedur kewangan yang perlu dipatuhi," jelasnya.
Justeru, beliau berharap tidak ada lagi pihak mempersoal perbelanjaan Kerajaan kerana ia dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan dalam belanjawan yang telah diluluskan oleh Parlimen.