Buka Parlimen: UMNO boleh bentuk jajaran politik baharu - KB Paya Besar

Astro Awani
Jun 21, 2021 12:24 MYT
Kata Tajuddin, pengiktirafan dunia terhadap kerajaan adalah juga bergantung kepada amalan demokrasi yang bertunjangkan semua keputusan di dalam Dewan Rakyat. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pembukaan Parlimen akan memungkinkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memutuskan jajaran politik baharu bersama PKR atau (dan) DAP bagi membentuk kerajaan berwibawa.
Ketua UMNO Bahagian Paya Besar Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman menegaskan, keputusan itu tidak mustahil dilakukan presiden parti namun perlu dilakukan di dalam Dewan Rakyat.
Jelasnya, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku termasuk kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan parti lain di luar kerajaan Perikatan Nasional (PN).
"Pengiktirafan dunia terhadap kerajaan adalah juga bergantung kepada amalan demokrasi yang bertunjangkan semua keputusan di dalam Dewan Rakyat.
"Sebarang keputusan di luar Dewan adalah dianggap tidak demokratik, dan kesan langsungnya, negara-negara dunia yang beramalan dengan amalan demokrasi akan mengetepikan Malaysia.
"Keputusan dalam Dewan Rakyat dan Parlimen, muktamad, berwibawa, legitimate.
"Sebarang keputusan di luar Dewan dalam bentuk Akuan Bersumpah (SD) dan sebagainya boleh dipertikaikan pada bila-bila masa, menjadikannya tidak muktamad dan tidak legitimate," katanya ketika dihubungi hari ini.
BACA: UMNO beri tempoh 14 hari untuk kerajaan panggil sidang Parlimen
BACA: Tidak mustahil jajaran baharu UMNO, DAP selepas PRU15 - KB Paya Besar
Terdahulu, Ahmad Zahid menyatakan pendirian tegas parti mendesak kerajaan supaya menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah dan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Jelasnya, kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati institusi Raja-Raja Pemerintah.
Ahmad Tajuddin menjelaskan, institusi presiden bermaksud, presiden tegas dan kekal dengan ideologi parti.
Selain itu, katanya, presiden juga perlu tegas kekal dengan apa juga keputusan Perhimpunan Agung UMNO.
Tegasnya, keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO bukan perkara dasar, sepertimana yang dibuat Perhimpunan Agung UMNO.
Ahmad Tajuddin sebelum ini pernah menjelaskan, jajaran politik baharu UMNO bersama DAP dan PKR tidak mustahil boleh berlaku memandangkan Pas dahulu pernah bersama kedua-dua parti itu di bawah Pakatan Rakyat (PR).
Katanya, ahli-ahli UMNO khususnya perlu menerima kemungkinan situasi itu jika norma baharu politik tersebut benar-benar berlaku.
#UMNO #PAS #PKR #DAP #Dewan Rakyat #darurat #jajaran baharu #Buka Parlimen #Ahmad Tajuddin Sulaiman #politik #Ahmad Zahid Hamidi #perkara dasar #norma baharu #demokrasi #kerajaan berwibawa
;