Buka Parlimen: "Kalau faham Bahasa Melayu, mereka akan akur Titah Tuanku" - Anwar Ibrahim

Firdaus Azil
Jun 29, 2021 19:18 MYT
Kata Anwar, saranan Agong perlu disegerakan, adalah jelas, bagi memastikan Proklamasi Darurat dapat dibahaskan sebelum 1 Ogos. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Titah berterusan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, agar Parlimen dibuka dengan kadar segera, perlu dijunjung kasih dan dilaksanakan dengan segera, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika mengulas mengenai Titah Tuanku hari ini, Presiden PKR itu berkata, beliau menggesa Menteri bertanggungjawab untuk tidak memutar belit kenyataan Istana Negara, dan mengeluarkan teori perundangan bahawa Parlimen boleh ditangguh hingga hujung Ogos atau September.
Jelasnya lagi, saranan Tuanku bahawa ia perlu disegerakan, adalah jelas, terutamanya bagi memastikan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat dapat dibahaskan di kedua-dua Dewan sebelum 1 Ogos ini.
“Bagi yang cerdik, bagi yang tak putar belit kenyataan, mereka tahu berulang kali (maksud) secepat mungkin Jangan ada Menteri…yang agak keterlaluan kalau saya sebut – angkuh, sombong, biadab - nak bawa teori Ogos, September dan sebagainya.
“Kerana secepat mungkin, bagi yang faham Bahasa melayu, bermaksud sesegera mungkin dengan mengikut garis panduan dan prosedur yang ditetapkan. Supaya dapat dibahaskan Proklamasi dan Ordinan Darurat sebelum 1 Ogos,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah hari ini sekali lagi menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
BACA: Agong ulangi titah, Parlimen perlu bersidang secepat mungkin - Istana Negara
BACA: Pandangan, seruan Agong serta Raja-raja Melayu berlandaskan Perlembagaan - Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Dalam satu kenyataan hari ini, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Tuanku berpandangan, persidangan itu perlu dilakukan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard COVID-19 yang ditetapkan Kerajaan dan Parlimen Malaysia.
Jelas beliau lagi, Tuanku Baginda mengambil ketetapan itu setelah mengadakan pertemuan dengan Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim dan Speaker Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, awal hari ini.
Selain itu, Ahmad Fadil berkata, pandangan dan seruan yang dinyatakan, merupakan pendirian Agong dan Raja-raja Melayu, yang bertindak sebagai Raja Berpelembagaan, berlandaskan prinsip keluruhan Perlembagaan Persekutuan, dan kedaulatan undang-undang.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau percaya saranan Agong adalah selari dengan pandangan dan harapan majoriti Ahli-ahli Parlimen, serta rakyat secara keseluruhan.
Bayangkan satu kerajaan tidak terasa malu dan diaibkan bila YDP Agong terpanggil untuk memberi gesaan sedemikian, kerana saya yakin Agong hanya menyuarakan pandangan majoriti Ahli-ahli Parlimen, dan majoriti rakyat negara ini.
“(Agong) yang lebih faham derita mereka, kesukaran mereka, tidak angkuh dan sombong seperti kita lihat jawapan oleh menteri-menteri dan pimpinan dalam negara kita termasuk Peguam Negara dan Speaker,” katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #Ketua Pembangkang #Yang di-Pertuan Agong #Dewan Rakyat #Dewan Negara #Buka Parlimen #undang-undang #Perdana Menteri #Parlimen #Melayu #pembangkang
;