Budaya lompat parti: Susah untuk sekat, 'micro manage' hidup manusia - Shafie Apdal

Eleanor Michelle Patrick
Mac 16, 2021 04:08 MYT
Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kebolehan untuk menilai sesuatu yang baik dan buruk seharusnya datang bersama kematangan seseorang individu. - Gambar fail
KOTA KINABALU: Tindakan menghalang atau menyekat mana-mana ahli politik daripada 'melompat' parti bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.
Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, kebolehan untuk menilai sesuatu yang baik dan buruk seharusnya datang bersama kematangan seseorang individu.
"Susah nak sekat mana-mana individu, kita tidak boleh 'micro-manage' hidup manusia. Sama ada dalam lingkungan umur yang muda ataupun yang tua.
"Tetapi seharusnya, bila kita sudah usia lanjut, kita boleh ada kematangan untuk menilai tentang buruk baik yang ada pada kita," katanya dalam siaran langsung "Shafie Apdal Menjawab" menerusi laman Facebook rasminya pada Isnin malam.
Bagaimanapun, Mohd Shafie yakin rakyat masih memegang kuasa yang boleh menghindar daripada berlakunya perkara sedemikian di masa depan.
"Dalam pilihan raya lalu, kita nampak trend Warisan tumbang oleh kerana ada (wakil rakyat) 'melompat' keluar daripada parti Warisan dan sebelum itu kita bubar Dewan (Undangan Negeri).
“Kita dapati apabila mereka menawarkan diri untuk turut bertanding balik, mereka kalah.
"Maknanya, para pengundi yang boleh menentukan bukan setakat hanya undang-undang yang boleh kita sekat mereka. Tetapi rakyat juga harus menyekat mereka. Kerana kalau rakyat menolak budaya ini, seharusnya mereka tidak lakukan (‘lompat’ parti)," ujar beliau lagi.
Dalam masa sama, Mohd Shafie berharap akan ada penggubalan satu Rang Undang-undang yang boleh menyekat aktiviti 'melompat' parti pada masa depan agar mandat dan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat dapat dilaksanakan.
Mengulas mengenai perbezaan situasi politik pada hari ini dibandingkan dengan tahun 1990-an, beliau berkata, matlamat merupakan antara perbezaan yang ketara.
"Saya agak bimbang keadaan kita berlaku di negara ini dan kalau kita bandingkan daripada melihat sejarah apabila kita mencapai kemerdekaan, sebahagian besar daripada ahli-ahli politik waktu itu, berpegang niat membangunkan negara, memajukan bangsa Malaysia tidak mengira kaum dan agama.
"Dalam keadaan ekonomi kita, salah satu cara untuk membanteras kemiskinan dan menyatukan rakyat bukan hanya dengan kaum, budaya, hormat menghormati, tetapi juga dengan menggunakan instrumen ekonomi yang ada di sesuatu negara,”ujar beliau.
Tambah Shafie lagi, pada awal tahun 1970-an, negara mempunyai ramai pemimpin yang mencurahkan khidmat bakti untuk bangsa dan negara.
"Saya rasa di sinilah kita sudah mulai hanyut dan kita perlu kembali ke niat asal,” katanya dalam sesi yang dikendalikan oleh Timbalan Ketua Wirawati Parti Warisan Sabah, Jo-Anna Henley Rampas, selaku moderator.
#Shafie Apdal #Shafie Apdal Menjawab #lompat parti #wakil rakyat #Parti Warisan Sabah #Warisan #micro manage #budaya lompat parti