Budaya jatuh-menjatuh punca Sabah masih mundur - Pandikar
Abdul Hafiz Mustadi
Januari 6, 2023 18:36 MYT
Januari 6, 2023 18:36 MYT
KOTA KINABALU: Presiden Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengecam tindakan segelintir ahli politik Sabah yang saling menjatuhkan sesama sendiri.
Jelas bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat itu budaya jatuh-menjatuhkan ini menjadi punca utama negeri itu mundur.
Merujuk kepada beberapa pemimpin kanan dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang cuba menggulingkan Datuk Seri Hajiji Noor, Pandikar menyifatkan tindakan berkenaan sebagai tidak matang dan menjejaskan imej pelaku itu sendiri.
"Sejak merdeka, Sabah telah diterajui pelbagai individu dari pelbagai parti politik. Namun sehingga kini, keadaan ekonomi dan politik negeri ini masih belum boleh dibanggakan walaupun kebanyakan pemimpin yang memimpin sejak dahulu hingga sekarang sarat dengan pengalaman pentadbiran dan punyai pelbagai kemahiran masing-masing disamping memiliki pendidikan yang tinggi.
"Kegagalan ini adalah disebabkan oleh tabiat jatuh-menjatuhkan kerajaan yang berakhir juga dengan keadaan yang serupa seperti sebelumnya", ujar Pandikar dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut berkata Hajiji sepatutnya terus diberi ruang mentadbir negeri itu sehingga tamat penggal berdasarkan kredibiliti beliau di kalangan rakyat dan pemimpin tempatan yang lain selain perwatakannya yang disenangi oleh setiap lapisan masyarakat.
"Ketua Menteri (Hajiji) adalah individu yang layak memegang jawatan sebagai ketua kerajaan berdasarkan pengalaman beliau yang amat luas dalam pentadbiran dan sebagai wakil rakyat.
“Sebagai individu dalam dunia politik pula, Hajiji seorang yang mempunyai sikap inklusif, yakni tidak suka bermusuhan, mengaibkan, menunjuk-nunjuk kelebihan diri atau memandai-mandai selain memberikan keutamaan kepada keseluruhan atau sama rata", ujar Pandikar.
Namun, tambah beliau sebaik mana pun seorang pemimpin jika tidak dibantu oleh orang-orang kepercayaannya tidak akan mampu mencapai matlamat, lebih-lebih lagi jika dijatuhkan oleh orang dalam.