Bubar DUN: "Saya belum menghadap Raja Perlis" - MB

Abd Hadi Che Awang
Oktober 13, 2022 16:00 MYT
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man (kiri) pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 hari ini. - BERNAMA
KANGAR: Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man mengesahkan masih belum menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bagi mempersembahkan cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Bagaimanapun, beliau memaklumkan ianya akan dilakukan dalam masa terdekat.
"(Saya masih) belum lagi (menghadap) dan saya telah pun memohon perkenan daripada Tuanku (Raja Perlis) untuk diterima menghadap bagi saya mempersembahkan cadangan pembubaran Dewan.
"(Namun) tarikhnya (pembubaran dan sebagainya), (ianya) mengikut perkenan Tuanku (Raja Perlis), itu hak mutlak Tuanku, untuk Baginda memberikan perkenan ataupun tidak, dan bila tarikhnya juga adalah hak mutlak Tuanku Raja Perlis,
"(Jika tanya) bila tarikh pembubaran, itu (saya) tidak pasti, itu adalah hak Tuanku, kita akan dengar titah daripada Tuanku Raja berhubung pembubaran Dewan dan bila tarikhnya (dalam masa terdekat)," katanya.
Azlan berkata demikian ketika ditemui media selepas sidang DUN Khas Sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima, DUN Perlis ke-14 di Kangar, pada Khamis.
Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan bahawa Barisan Nasional (BN) Perlis telah menyerahkan senarai penuh nama calon bagi peringkat DUN dan Parlimen untuk diketengahkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kepada kepimpinan di peringkat Pusat.
"Parti telah menetapkan bahawa bagi setiap kerusi sama ada Parlimen ataupun DUN, (Badan Perhubungan Negeri) mestilah meletakkan minima lima nama calon untuk dibuat keputusan oleh kepimpinan tertinggi parti.
"Selain itu setiap incumbent atau penyandang Parlimen dan DUN yang sekarang ini juga diminta untuk disenaraikan dalam senarai calon yang dikemukakan kepada pihak kepimpinan Tertinggi," katanya lagi.
Sementara itu, Azlan turut menyatakan bahawa kempen yang digerakkan BN dan UMNO adalah dengan menyantuni seluruh rakyat setiap masa dan tidak 'bermusim' ibarat menunggu 'durian luruh' seperti yang dilakukan parti-parti tertentu ketika ini.
Beliau turut menasihati mana-mana individu yang tidak disenaraikan sebagai calon dalam PRU15 untuk tidak mensabotaj parti dan sentiasa mengamalkan konsep berdamai dengan takdir.
#bubar DUN #DUN Perlis #Azlan Man #PRU15
;