Bubar DUN: Pas muktamad keputusan Sabtu ini, Pulau Pinang ikut keputusan Majlis Presiden PH

Bernama
Oktober 6, 2022 06:45 MYT
AHMAD SAMSURI: Asalnya perjumpaan Sabtu ini hanya mesyuarat bulanan biasa, tetapi kebetulan dengan perkembangan isu politik semasa, kita bincanglah sekali pembubaran DUN. - Gambar fail
KUALA NERUS: Pas setakat ini masih kekal dengan ketetapatan awal untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Kedah dan Kelantan tahun ini namun keputusan akhir mengenai perkara itu akan diputuskan dalam mesyuarat bulanan peringkat pusat Sabtu ini.
Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata parti itu masih mengikuti perkembangan politik semasa dan setiap keputusan yang difikirkan terbaik akan ditentukan nanti selepas mengambil kira semua aspek.
"Asalnya perjumpaan Sabtu ini hanya mesyuarat bulanan biasa yang dijalankan pada minggu pertama setiap bulan tetapi kebetulan dengan perkembangan isu politik semasa, kita bincanglah sekali (pembubaran DUN).
"Kita akan muktamadkan keputusan pada Sabtu ini, tetapi setakat ini saya difahamkan kita ketiga-tiga negeri tidak akan bubar DUN masing-masing jika berlaku pembubaran (Parlimen) dalam waktu terdekat," katanya selepas merasmikan Program Pembudayaan Kehidupan Bersyariat Negeri Terengganu Tahun 1444/2022M di perkarangan Masjid Seberang Takir, semalam.
Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah turut mengulangi pendirian bahawa DUN Kelantan akan terus berfungsi sehingga akhir penggal.
"Setakat ini Pas sudah membuat membuat keputusan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan bubar DUN sekiranya Parlimen dibubarkan tahun ini, kita tunggu tahun depan kecuali Parlimen dibubar tahun depan kita akan bubar serentak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Komuniti Tumpat, di Kelantan, semalam.
Dalam perkembangan sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, semalam memaklumkan kerajaan negeri itu akan mengikuti keputusan pimpinan pusat Pakatan Harapan (PH) untuk tidak membubarkan DUN tahun ini bagi menumpukan perhatian menangani permasalahan banjir.
Pada Rabu, Majlis Presiden PH memaklumkan DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang hanya akan dibubarkan tahun depan iaitu pada satu tarikh yang akan diumum kelak.
-- BERNAMA
#PAS #bubar DUN #pulau pinang #Ahmad Samsuri Mokhtar
;