Buang UMNO: Saya tak gentar ancaman Ku Nan - Muhyiddin
Harits Asyraf Hasnan
Mac 3, 2016 14:15 MYT
Mac 3, 2016 14:15 MYT
Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui bahawa beliau tidak gentar dengan amaran Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor berhubung kemungkinan beliau akan dibuang parti jika terus bersuara.
Malah, beliau menegaskan akan bersuara dengan lebih lantang selepas ini atas amanah yang diberikan kepadanya sebagai Timbalan Presiden UMNO.
“Berhubung dengan amaran Setiausaha Agung, saya tidak takut dengan ancaman sebegitu. Perjuangan masih belum selesai.
"Walaupun saya kekal (dalam UMNO), saya akan terus bersuara, malah dengan lebih lantang,” katanya pada sidang media khas di sini, hari ini.
Sebelum ini, Tengku Adnan dipetik sebagai berkata, bahawa “tidak mustahil” bagi Lembaga Disiplin UMNO untuk memecat Muhyiddin daripada parti jika beliau tidak berhenti mengkritik Presiden, Datuk Seri Najib Razak.
Tambah Muhyiddin, segala kritikan disuarakan sebelum ini hanya untuk menyelamatkan parti itu daripada ditinggalkan rakyat.
“Majlis Tertinggi tidak bersuara, Lembaga Disiplin tidak panggil? Siapa yang lebih banyak buat kesalahan?” katanya lagi.
Jumaat lalu, mesyuarat MT UMNO yang dipengerusikan Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO.
#amaran Muhyiddin dibuang parti UMNO
#Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor
#keputusan Majlis Tertinggi UMNO