Borang PPBM dilempar, Tajuddin sambut 281 ahli sertai UMNO Pasir Salak

Harits Asyraf Hasnan
April 14, 2018 16:32 MYT
Bekas ahli PPBM melemparkan borang pada majlis penyerahan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di sini.
Seramai 281 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memutuskan untuk meninggalkan parti itu dan menyertai parti UMNO.
Bekas Penolong Pendaftar PPBM, Zainal Abidin Hussin berkata beliau bersama 280 yang lain telah hilang keyakinan terhadap kepimpinan PPBM.
“Apa yang membuat kami semua keluar daripada PPBM kerana kami telah hilang keyakinan terhadap pemimpinnya yang hanya inginkan jawatan. Kami telah berpakat untuk keluar daripada PPBM.
“Kami tidak mahu lagi berpolitik dalam parti itu dan lebih baik bagi kami pulang kepada UMNO, parti yang menjadikan diri kami dari dahulu hingga kini.
“Dalam PPBM ini, berebut-rebut kuasa, perebutan jawatan. Jadi kami di peringkat bawahan tertanya-tanya ke mana arah kami nak pergi sekiranya mereka berebut-rebut di peringkat atasan,” katanya selepas menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di sini hari ini.

#MalaysiaMemilih Borang keahlian PPBM dilempar, DS Tajuddin Abd Rahman sambut 281 ahli baru UMNO di Pasir Salak @501Awani pic.twitter.com/oKGWxsFZGe

— Asyraf Hasnan AWANI (@AsyrafAWANI) April 14, 2018
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sementara itu, Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata kesemua mereka telah membuat keputusan yang tepat terutama pada musim pilihan raya ini.
“Saya menerima sahabat-sahabat baru dalam berjuang dengan kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak berapa lama lagi.
“Tadi sebanyak 281 borang dan saya percaya lebih ramai lagi untuk meninggalkan parti-parti dalam Pakatan Harapan dan menyertai Barisan Nasional (BN) dalam tempoh beberapa hari lagi,” ujarnya.
Tambah Tajuddin, beliau mengalu-alukan keputusan yang dibuat mereka semua yang telah membuat membuat keputusan dengan bijak demi masa hadapan yang lebih baik.
Dalam gimik penyerahan borang keahlian itu, Zainal Abidin bertindak melempar borang-borang keahlian PPBM milik serta yang lain dan menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Tajuddin.
#isu semasa #jawatan #keluar parti #KUASA #Malaysia Memilih #Pasir Salak #PPBM #UMNO #Zainal Abidin Hussin