Borang pencalonan PRK Tanjung Piai sudah mula dijual
Mohamad Fauzi Ishak
Oktober 24, 2019 12:08 MYT
Oktober 24, 2019 12:08 MYT
Enam borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sudah mula dijual Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat hari ini sejak dibuka 8 Oktober lalu.
Timbalan Pengarah SPR Johor, Mohammad Zaidad Abu Samat memberitahu, keenam-enam calon yang membeli borang adalah dalam kalangan individu daripada beberapa parti utama.
“Borang pencalonan tersebut dibeli oleh enam pihak dan apa yang saya boleh katakan mereka yang membeli adalah dari parti utama dan ada yang belum bayar deposit untuk pilihan raya atau bahan kempen,” katanya ketika ditemui di Taklimat Pengurusan PRK Tanjung Piai di sini hari ini.
Jelasnya lagi, calon yang ingin bertanding masih boleh mendapatkan borang sehingga 2 November nanti sehingga 10 pagi di hari pencalonan tersebut.
Seramai 27 penyelia dan 278 orang kerani penunjuk arah terlibat dalam sesi taklimat pagi tadi.
Dalam pada masa sama, Zaidad berkata, SPR juga telah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku banjir di daerah itu pada hari pengundian.
SPR telah mengadakan pertemuan bersama pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) Jabatan Bomba Dan Penyelamat dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi membincangkan perkara itu.
“Saya faham sekarang ini merupakan musim hujan, jadi kami sentiasa berada dalam keadaan bersiap siaga jika sebarang kemungkinan seperti banjir berlaku.
“Alhamdulilah, Pegawai Pengurus P165 Pontian yang dilantik adalah pegawai di daerah sendiri yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir.
“Jadi insyallah sedia hadapi PRK pada 6 hari bulan nanti,” ulasnya.
Dalam pada itu, Zaidad turut memaklumkan bahawa terdapat seramai 24 orang warga emas berusia 100 tahun ke atas yang masih layak mengundi di kawasan itu.
Pengurusan sesi taklimat pilihan raya bertujuan membantu pengundi Orang Kelainan Upaya (OKU) dan warga emas di luar pusat mengundi hingga selesai.
#banjir
#calon
#JPAM
#OKU
#Parlimen
#PDRM
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#Polis Diraja Malaysia
#Suruhanjaya Pilihan Raya
#Tanjung Piai Memilih
#warga emas