Bolehkah BN menang PRK Sungai Kandis?
Sinar Harian
Julai 22, 2018 07:38 MYT
Julai 22, 2018 07:38 MYT
BN ada sebab kukuh untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.
Bagi Ahli Majlis Tertinggi UMNO Khaidirah Abu Zahar berkata meskipun menyedari BN merupakan calon 'underdog' pada PRK kali ini namun jelasnya, BN tidak mudah menyerah kalah.
Beliau yang lebih dikenali sebagai Dira berkata, PRK kali ini waktu paling sesuai untuk BN 'test market'.
"Kita tahu sekarang kalau campur jumlah undi pada PRU lalu menunjukkan ia memihak kepada PH.
"Tapi kenapa BN bertanding, kerana ia merupakan waktu sesuai dan permulaan yang baik untuk kita lihat bagaimana kesan penerimaan rakyat pada parti selepas PRU14," katanya dalam Program Ruangan Diskusi N49 berjudul isu ‘Janji dan Orang Muda’sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya moderator Datuk Mohd Irwan Rizal adakah BN mampu memenangi PRK kali ini.
Katanya lagi PRK kali ini juga BN mahu melihat apa yang dikehendaki oleh rakyat.
"kita kena tengok rakyat mahukan apa...ini merupakan titik permulaan BN sebenar-benarnya apa yang diperlukan rakyat pada PRU," katanya.
Sementara itu menyentuh mengenai calon BN PRK Sungai Kandis Datuk Lokman Noor Adam, Dira menyifatkan Presiden Pemantau Malaysia Baharu itu sebagai figura yang sangat berani.
"Saya yakin kemampuan beliau untuk sampaikn suara rakyat akan diuruskan dengan cukup baik, sungai kandis tak perlu ragu kalau dia diberi peluang dia akan berjuang habis-habisan," katanya.
PRK Sungai Kandis menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PH, BN dan Bebas.
PH meletakkan calon muka baharu, Mohd Zawawi Ahmad Mughni yang merupakan Setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR Pusat yang juga pengetua tafiz.
Calon Bebas pula ialah Murti Krishnasamy.
Pada PRU14 calon PKR, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiee memenangi kerusi Dun Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon BN, Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Hanafiah Husin (76).
#Barisan Nasional
#Khaidirah Abu Zahar
#Mohd Irwan Rizal
#pilihan raya
#pilihan raya kecil
#PKR
#PRU14
#sungai kandis
#UMNO