BN yakin rakyat Sarawak tolak Bersatu
Rahimah Abdullah
Disember 2, 2018 19:01 MYT
Disember 2, 2018 19:01 MYT
Barisan Nasional (BN) yakin rakyat Sarawak akan menolak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang mula bertapak di Bumi Kenyalang itu.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan Bersatu sebagai sebuah parti yang tidak memenuhi citarasa rakyat negeri itu.
"Apabila UMNO buat keputusan untuk tidak mengembangkan sayapnya di Sarawak, ianya adalah bagi memenuhi citarasa politik orang Sarawak. Di dalam keadaan ini, tentunya citarasa orang Sarawak lain dengan orang negeri lain.
"Kami yakin rakyat Sarawak akan menolak kehadiran parti berkenaan kerana mereka adalah parti yang menjaga kepentingan Sarawak secara khusus," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama 32 senator BN di Ibu Pejabat BN di PWTC hari ini.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada Sabtu melancarkan Bersatu Sarawak di Dewan Suarah Bintulu, Sarawak.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu, berkata beliau kagum dengan jumlah kehadiran yang ramai, sekali gus menunjukkan rakyat Sarawak ingin Bersatu melebarkan sayapnya ke negeri itu.