BN yakin menangi tujuh kerusi parlimen di Negeri Sembilan
Bernama
Februari 22, 2018 12:03 MYT
Februari 22, 2018 12:03 MYT
Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan meletakkan sasaran untuk memenangi tujuh daripada lapan keusi parlimen di negeri itu dan memeperoleh majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan selaku Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata selepas memenangi lima kerusi Parlimen dalam PRU13, parti itu akan cuba untuk tingkatkan bilangan kepada tujuh kerusi dengan merampas semula kerusi di Telok Kemang dan Seremban yang dipegang oleh wakil rakyat PKR dan DAP.
"Bagi kerusi DUN, kami telah menetapkan sasaran untuk memenangi lebih daripada majoriti dua pertiga. Saya sedang meneliti usaha yang terbaik bagi memenangi sebanyak 26 kerusi di negeri ini. Kami hanya memerlukan 24 kerusi bagi memenangi majoriti dua pertiga dan saya yakin sasaran mampu dicapai jika kami bekerja keras dengan bantuan dari jentera pilihan raya yang baik," katanya menerusi sidang akhbar pada hari ini.
"Saya yakin UMNO akan mengekalkan semua kerusi dan memenangi kerusi Sikamat, manakala MIC yang akan bertanding dua kerusi boleh mengekalkan kerusi Jeram Padang dan merampas kerusi Port Dickson. Bagi MCA yang kehilangan semua 11 kerusi dalam PRU13, kami harap mereka boleh memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi," tambahnya.
Dalam PRU13, BN memenangi lima kerusi parlimen dan 22 kerusi DUN, diikuti oleh DAP dengan dua kerusi parlimen dan 11 kerusi DUN, dan PKR dengan satu kerusi parlimen dan tiga kerusi DUN.
-- BERNAMA
#Barisan Nasional
#Dewan Undangan Negeri
#MalaysiaMemilih
#menang
#Menteri Besar
#Mohamad Hasan
#Negeri Sembilan
#Parlimen
#PRU14