BN Wilayah Persekutuan serah senarai calon PRU 14 kepada Najib

Bernama
September 30, 2017 10:42 MYT
Pengerusi BN Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata senarai itu mengandungi nama calon-calon yang berpotensi untuk menang selain popular dan disukai masyarakat. - Gambar fail
Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan telah menyerahkan senarai calonnya kepada Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ditimbangkan bertanding di 13 kerusi parlimen di kawasan berkenaan pada pilihan raya umum ke-14.
Pengerusinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata senarai itu mengandungi nama calon-calon yang berpotensi untuk menang selain popular dan disukai masyarakat.
"Tiap-tiap kawasan kita bagi lima nama dan pemilihan bukan berdasarkan calon yang dikehendaki parti atau kawan-kawan dalam parti," katanya kepada pemberita selepas melancarkan majlis pecah tanah galeri jualan 3rdNvenue di sini, hari ini.
Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO, berkata antara kriteria yang diambil kira ialah calon mesti yang memberi sumbangan kepada rakyat dan bebas rasuah.
Katanya beliau yakin BN akan terus mendapat sokongan berdasarkan calon-calon yang disenaraikan itu dan bukan seperti parti lain yang ditubuhkan kerana cemburu dan kecewa selepas tidak dapat mencapai matlamat.
"Saya percaya rakyat tidak sokong parti-parti seperti ini," katanya
-- BERNAMA
#Barisan Nasional #calon #Pengerusi BN #pilihan raya umum