BN umum calon tiga negeri terakhir
Astro Awani
April 26, 2018 16:47 MYT
April 26, 2018 16:47 MYT
Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan nama calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) di tiga negeri terakhir iaitu Sabah, Pahang dan Perlis.
BN Sabah mengumumkan Ketua Penerangan UMNO Semporna, Datuk Ramlee Marahaban bakal bertanding di kerusi Parlimen Semporna berdepan pencabar yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang bertanding atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pengerusi BN dan UMNO negeri, Tan Sri Musa Aman dalam pada itu pula mempertahankan kerusi DUN Sungai Sibuga.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pula akan bertanding di kerusi Parlimen Kota Belud menggantikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang berpindah ke kerusi Parlimen Sepanggar.
Sementara itu, muka-muka baharu tampil bertanding bagi kerusi Parlimen iaitu Datuk Joseph Lee (Kota Kinabalu) dan Caesar Mandela Malakun (Penampang).
Yamani Hafez Musa pula menggantikan penyandang kerusi Parlimen Sipitang Datuk Sapawi Ahmad yang akan bertanding di kerusi DUN Sindumin.
Di Pahang pula, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengetuai 32 calon penyandang BN yang akan bertanding pada PRU14 di Pahang.
Najib yang telah bertanding 10 penggal akan bertanding sekali lagi untuk kerusi Parlimen Pekan.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob turut mengekalkan kawasan DUN Pelangai buat kali kelapan.
Manakala, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang juga penyandang kerusi Dun Lanchang pula diletakkan bertanding di Parlimen Temerloh.
Beliau menjadi calon tunggal yang bertanding di dua kerusi di negeri ini apabila turut diletakkan di DUN Lanchang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ismail Sabri Yaakob pula akan mempertahankan kerusi Bera buat penggal keempat.
Bagi BN Perlis, Shahidan Kassim dikatakan akan mengekalkan kerusi Parlimen Arau menentang Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin.
Sementara itu, Menteri Besar Perlis, Azlan Man akan bertukar dari DUN Pauh ke Bintong.
BN Perlis dijangka akan mengumumkan senarai penuh calon negeri itu malam ini.
#Abdul Rahman Dahlan
#ismail sabri yaakob
#Malaysia Memilih
#Najib Razak
#PRU14
#Rahman Dahlan
#Salleh Said Keruak
#Shafie Apdal
#Shahidan Kassim