BN tidak tergugat calon muda pembangkang - Idris

Bernama
April 8, 2018 05:21 MYT
Idris menyifatkan keputusan Pakatan Harapan meletakkan Syed Saddiq tidak lebih sebagai suatu samaran untuk 'menyembunyikan' calon-calon berusia 93 tahun dan 75 ke atas sebagai calon utama mereka. Gambar fail
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata BN tidak merasa tergugat dengan calon muda yang diletakkan pembangkang untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang bakal diadakan tidak lama lagi.
Ini kerana kata Ketua Menteri Melaka itu, BN telah sekian lama mengetengahkan peranan golongan muda untuk memimpin negara.
"Oleh sebab itulah dalam BN telah lama wujud pergerakan Pemuda BN dan pergerakan muda komponen," katanya kepada pemberita, di sini pada Ahad.
Beliau diminta mengulas pengumuman Pakatan Harapan pada Sabtu malam yang meletakkan pemimpin mudanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bertanding di kerusi Parlimen Muar.
Anak muda berusia 25 tahun tersebut dijangka berdepan dengan penyandang selama tiga penggal Datuk Seri Razali Ibrahim.
Mengulas lanjut, Idris turut menyifatkan keputusan Pakatan Harapan itu tidak lebih sebagai suatu samaran untuk "menyembunyikan" calon-calon berusia 93 tahun dan 75 ke atas sebagai calon utama mereka.
Sementara itu, tinjauan Bernama dalam kalangan segelintir anak muda, masing-masing mahu parti politik, khususnya BN menampilkan lebih ramai calon muda yang berusia dalam lingkungan 30-an.
"Pada pendapat saya dalam kepimpinan negara perlu ada suara seimbang antara generasi baharu dan juga generasi muda agar ia dapat memberi lebih kekuatan kepada sesebuah kerajaan," kata penuntut universiti swasta yang hanya mahu dikenali sebagai Roslan, 25 tahun, kepada Bernama di sini.
Faradila Wahab, 23 tahun, dari Bukit Katil pula berpandangan orang muda perlu diberi peluang secukupnya untuk bertanding pada PRU14 memandangkan mereka mempunyai banyak idea baharu yang dapat membantu negara.
"Pada masa sama saya tidak tolak kepentingan calon yang berumur kerana mereka mempunyai pengalaman dan lebih matang dalam membuat keputusaan penting," kata usahawan dalam talian itu.
--BERNAMA
#93 tahun #anak muda #Barisan Nasional #BN #calon #calon muda #idris haron #pembangkang #pilihan raya umum #PRU14 #samaran #sembunyi calon
;