BN tidak akan sertai PRN Sarawak, sokong GPS - Mohamad Hasan
Fadilah Sulaiman
Disember 4, 2021 10:31 MYT
Disember 4, 2021 10:31 MYT
KUCHING: Barisan Nasional (BN) tidak akan menyertai pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, sebaliknya akan memberi sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Keputusan itu diumumkan Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini, sambil menyuarakan harapan angin kemenangan BN di Melaka akan bertiup kencang ke Laut Cina Selatan pada PRN Sarawak ke-12 yang dijadual 18 Dis ini.
Menurutnya, walaupun GPS tidak lagi bersama BN, namun semangat setiakawan yang terjalin lebih empat dekad ini masih kukuh.
Sehubungan itu, BN menyokong penuh parti yang diterajui Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Openg itu.
“Walaupun GPS tidak menyertai BN, hubungan baik masih seperti dulu. Jadi, kunjungan ini lebih kepada kunjungan hormat dan untuk memberi sokongan moral.
"Semangat adik-beradik BN itu masih ada lagi,” katanya pada sidang media BN di sini hari ini. Turut hadir, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.
Tambahnya sokongan padu kepada calon GPS di kesemua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak amat penting untuk kestabilan politik negeri ini.
“Kepada rakyat Sarawak, saya mohon agar berikan kepercayaan semula kepada GPS kerana faktor kestabilan sesebuah negara dan negeri itu merupakan amat penting untuk kesejahteraan rakyat.
“Kestabilan bermula daripada parti yang membentuk kerajaan majoriti yang solid yang akan dapat mentadbir negeri, negara dengan menumpukan sepenuh masa mengurus negara dan akhirnya dapat dimajukan dan makmur.
"Ini merupakan formula untuk rakyat hidup aman sejahtera,” tambahnya.
Biarpun pertama kali logo dacing BN tidak akan diguna pakai di Sarawak, tetapi Mohamad yakin dengan kewibawaan barisan pemimpin GPS, logo burung kenyalang parti itu akan diterima baik oleh penduduk Bumi Kenyalang.
“Saya rasa jentera GPS amat mantap dan mereka terutama Abang Johari telah pun mengurus dan mentadbir Sarawak dengan baik jadi saya tak nampak perlunya campur tangan daripada pihak luar.
“Tetapi jika ada keperluam untuk beberapa orang pemimpin untuk membantu, kami sedia membantu namun ketika ini kami rasakan kepimpinan GPS cukup bagus untuk meneraju pilihan raya ini dan mendapat kepercayaan rakyat Sarawak,” katanya.
Terdahulu pada tahun 2018, keempat-empat parti komponan GPS telah keluar dari BN akibat kegagalan BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu membentuk GPS.