BN tidak akan bentang pindaan RUU 355, kekal usul persendirian - PM Najib
Rahimah Abdullah
Mac 29, 2017 23:08 MYT
Mac 29, 2017 23:08 MYT
Barisan Nasional hari ini membuat keputusan tidak akan membentangkan Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 di Parlimen.
Keputusan itu diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato Onn, PWTC, di sini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata keputusan dibuat berdasarkan konsensus dalam BN.
"BN memutuskan bahawa kerajaan tidak akan bentang RUU 355 selaras dengan dasar dan amalan bahawa BN buat keputusan berdasarkan konsensus," katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Jelasnya, dengan pengumuman itu, RUU 355 akan kekal menjadi rang undang-undang persendirian.
"Justeru, rang undang-undang ini akan terus menjadi rang undang-undang persendirian dan terserah kepada speaker untuk menentukan, mengikut pada order paper.
"Kalau speaker putuskan ia akan dibentangkan, maka ia akan dibentangkan. Dan speaker juga akan putuskan peraturan berhubung undang-undang tersebut," katanya lagi.