BN tetap sokong calon Kerajaan Perpaduan di PRK Sungai Bakap - Ahmad Zahid

Nazri Kahar
Mei 27, 2024 16:16 MYT
Ahmad Zahid berada di Shanghai dalam rangka lawatan kerja di China. - Gambar/ Fariz Iswadi
SHANGHAI: "Formula yang digunakan adalah mana-mana parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan yang berada di kedudukan nombor dua (dalam Keputusan Pilhan Raya Negeri, Ogos lalu), parti itulah yang akan menjadi calon".
Demikian kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, mengenai calon untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap.
Beliau berkata BN dan UMNO tetap bersedia dan akan menggerakkan jentera walaupun calon yang bertanding bukan gabungan berkenaan.
“Kerajaan Perpaduan belum memperincikan perihal berkaitan calon yang bertanding di DUN berkenaan," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kekosongan luar jangka bagi kerusi DUN Sungai Bakap susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, akibat radang dalam perut, Jumaat lalu.
Pada PRN Pulau Pinang lalu, Nor Zamri meraih 15,433 undi bagi menewaskan calon Pakatan Harapan, Nurhidayah Che Rose, dengan majoriti 1,563 undi.
#PRK Sungai Bakap #BN #Kerajaan Perpaduan #Zahid Hamidi
;