BN Terengganu tidak gentar usaha pembangkang rampas negeri itu

Nur Fazlizai Ali
Januari 12, 2018 16:49 MYT
AHMAD RAZIF berkata BN Terengganu tidak mempunyai masalah dan gentar dengan sesiapa sahaja yang mahu bertanding di negeri ini. - Gambar fail
Kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang yakin mampu merampas kembali Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke 14 (PRU14) tidak akan menggugat kepercayaan rakyat negeri ini untuk terus menyokong Barisan Nasional (BN).
Dengan slogan, Terengganu molek doh, BN Terengganu tidak gentar untuk berdepan mana-mana parti.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, kesilapan memilih Pas untuk memerintah pada tahun 1999 hingga 2004 menjadi iktibar kepada rakyat negeri ini.
“Sesiapa pun mahu bertanding dengan keyakinan boleh menang. Kita tanya Pas, mereka mahu… tanya PPBM, mereka mahu… tanya Amanah, mereka juga mahu.
“Ini adalah lumrah jadi kita jangan ambil kisah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Sihat di Kuala Terengganu pada Jumaat.
Mengulas mengenai strategi Amanah yang meletakkan calon di tiga parlimen di Terengganu, Ahmad Razif berkata BN Terengganu tidak gentar untuk berdepan dengan sesiapa sahaja.
“Terpulang kepada mereka (Amanah) dan apa strategi yang mereka nak gunakan kerana itu hak mereka. Kita tidak ada masalah.
“Satu lawan satu, sepuluh lawan satu, kita (BN Terengganu) tidak mempunyai masalah,” katanya.
Menurutnya, apa yang penting, BN Terengganu mempunyai banyak perkara yang hendak diselesaikan membabitkan agenda pembangunan untuk membantu rakyat.
#agenda #Ahmad Razif #Ahmad Razif Abdul Rahman #Barisan Nasional #calon #Kuala Terengganu #Menteri Besar #Parlimen #PAS #pilihan raya #pilihan raya umum #PPBM #PRU14 #rakyat #Tuan Ibrahim Tuan Man
;