BN terbuka terima parti lain untuk perkukuh gabungan - Tok Mat
Bernama
Disember 27, 2020 16:33 MYT
Disember 27, 2020 16:33 MYT
NILAI: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan berkata tidak ada salahnya BN menerima parti-parti lain yang berhajat menyertai gabungan berkenaan.
Beliau berkata ini kerana BN perlu mengumpulkan semula kekuatan termasuk daripada parti-parti lain yang mempunyai kelebihan tersendiri selepas kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
"Kita mesti bersifat inklusif bukannya eksklusif lagi. Maka jika ditanya pandangan peribadi saya, lebih banyak parti bersepakat di bawah payung BN itu lebih baik, kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri, dan kekuatan sedikit-sedikit ini jika dikumpulkan akan menjadi kekuatan yang besar nanti.
"Ini yang perlu kita bina dan lakukan untuk BN bina kekuatan baharu sebab BN dah kalah pada PRU14," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-12 Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti) di sini yang turut dihadiri Presidennya Datuk Seri R.S. Thanenthiran.
Bagaimanapun, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata sebarang keputusan berhubung penyertaan parti baharu dalam BN perlu mendapat konsesus daripada empat parti komponen iaitu UMNO, MIC, MCA dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).
Mengulas mengenai permohonan Thanenthiran agar Makkal Sakti dibenarkan bertanding atas tiket BN pada PRU15, Mohamad berkata perkara itu wajar dipertimbang oleh pucuk pimpinan BN memandangkan Makkal Sakti masih setia menyokong gabungan tersebut sekalipun hanya berstatus parti rakan.
"Makkal Sakti telah lama bersama membantu BN, baik semasa (BN) menjadi kerajaan dan bukan kerajaan lagi. Saya yakin pertimbangan boleh dilakukan oleh jawatankuasa tertinggi BN berkenaan permohonan Makkal Sakti ini," katanya.
Terdahulu, Thanenthiran dalam ucapan pada mesyuarat berkenaan, memohon BN memberikan peluang kepada parti itu bertanding pada PRU15 akan datang.
"Ini harapan kami dan kami sedia bertanding. Jika bukan PRU15, bila lagi," katanya.
Mesyuarat agung berkenaan yang dihadiri 753 perwakilan dari seluruh negara turut meluluskan tiga resolusi, iaitu menjadi parti komponen BN, bertanding di bawah payung BN pada PRU15 dan mengenai kesejahteraan masyarakat India di Sabah yang kemudian diserahkan kepada Mohamad.
-- BERNAMA
#Mohamad Hasan
#Tok Mat
#BN
#UMNO
#terima parti lain
#sertai UMNO
#gabungan
#PRU14
#PRU15
#pilihan raya
#kekuatan