BN sudah tiada, yang tinggal hanya nama UMNO - Tun M

Astro Awani
Februari 28, 2019 04:39 MYT
Dr Mahathir mengangkat tangan calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman Zainali pada Program Ceramah Perdana sempena Pilihan Raya Kecil N24 DUN Semenyih di Perkarangan Tesco, Semenyih, 28 Feb, 2019. -- fotoBERNAMA
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Barisan Nasional (BN) sudah lenyap dan kini yang tinggal hanyalah UMNO.
Justeru, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, tindakan memberi sokongan kepada parti itu disifatkan sebagai sia-sia.
"Sia-sia saja kalau pilih calon BN. Sebenarnya BN dah tak ada, innalillah. Yang ada nama UMNO sahaja.
"UMNO (pun) dah hancur, banyak minta nak jadi ahli PH, Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Nak berjalan pun tak larat. Jadi apa saja UMNO sekarang ini?" soalnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Ceramah Perdana Pakatan Harapan di Bandar Tasik Kesuma, Semenyih, malam tadi.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan akan menyingkirkan pemimpin yang lari daripada perjuangan membantu rakyat dan yang melakukan salah guna kuasa.
Tegas Dr Mahathir, sepanjang karier politiknya, ramai pemimpin yang telah disingkirkan, dan katanya, beliau menyingkirkan UMNO kerana ia sudah menyimpang daripada perjuangan asal.
"Saya tidak peduli dia pemimpin ataupun tak pemimpin, bila Tunku Abdul Rahman tidak tolong rakyat, saya tegur Tunku, saya kena buang.
“Pemimpin boleh tegur, kalau pemimpin tak boleh tegur, dia curi duit lah. Ini sebab bila pemimpin lari daripada perjuangan, kita singkirkan.
"Dan saya singkirkan pemimpin, saya singkirkan parti UMNO pasal tak perjuang lagi,” tambahnya.
#Barisan Nasional #BN sudah tiada #Ceramah Perdana Pakatan Harapan #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Perdana Menteri #pilihan raya kecil Semenyih #semenyih memilih #UMNO
;