BN sifatkan kemenangan di Mahkota sebagai manifestasi keyakinan rakyat
Umavathi Ramayah
September 29, 2024 11:30 MYT
September 29, 2024 11:30 MYT
KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyifatkan kemenangan gabungan itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Johor pada Sabtu sebagai manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan negeri.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, mandat besar yang diterima itu memperkuatkan lagi tekad BN untuk terus membawa politik kesederhanaan bersama-sama rakan dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Sesungguhnya kemenangan ini adalah merupakan satu amanah rakyat yang memberikan keyakinan kepada BN untuk terus istiqamah dalam mengangkat agenda membangunkan negara dan mensejahterakan kehidupan rakyatnya.
"Semoga kemenangan ini sempena dengan sambutan 50 tahun BN akan menyuntik semangat membangunkan kembali seluruh potensi untuk bergerak ke hadapan membina kecemerlangan BN yang mendapat keyakinan dan sokongan rakyat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Zambry turut menzahirkan kesyukuran atas kemenangan penuh bermakna calon gabungan itu, Syed Hussien Syed Abdullah
"Bagi pihak Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta Dewan Tertinggi, BN merakamkan jutaan terima kasih kepada para pengundi DUN Mahkota atas sokongan yang diberikan.
"Setinggi penghargaan buat semua jentera parti BN yang berkampung sepanjang tempoh kempen dengan satu tekad untuk memenangkan calon parti.
"Tidak ketinggalan kerjasama yang dihulurkan oleh rakan rakan parti daripada Pakatan Harapan memberikan sumbangan terhadap kemenangan yang cukup bermakna ini," tambahnya.
Syed Hussien, 40, bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN Mahkota, malah menang dengan majoriti besar 20,648 undi.
Beliau menang di semua 20 pusat pengundian dengan mendapat 27,995 undi, manakala pesaingnya dari Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar jauh ketinggalan apabila hanya mendapat 7,347 undi.
Undi yang ditolak berjumlah 329 undi.