BN sedia kenal pasti individu berbakat sebagai calon PRU14 - Najib
Bernama
November 1, 2014 08:36 MYT
November 1, 2014 08:36 MYT
Barisan Nasional (BN) sedang mengenal pasti individu berbakat yang berpotensi menjadi calonnya pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib yang juga pengerusi BN berkata ini adalah antara persediaan awal parti untuk menghadapi PRU14.
"Kita akan sedia calon lebih awal lagi. Kita perlu, pada peringkat awal ini, kenal pasti bakat dahulu sebelum kita tentukan calon.
"Keduanya, kita belum tentukan pembahagian kerusi lagi," kata beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Dato Onn di sini, malam ini.
Dalam itu, Najib berkata langkah-langkah juga akan diambil untuk memastikan kerjasama antara parti komponen BN terus diperkukuh melalui program-program bersama dan persefahaman pihak kepimpinan atasan.
"Kalau pihak atasan ada kepimpinan positif, saya percaya anak buah lebih senang nak ikut," kata beliau.
Najib berkata setiap parti komponen juga perlu melihat soal dalaman parti dan memperkukuh jentera masing-masing selain perlu menunjukkan tahap komitmen tinggi dalam memastikan kelangsungan kuasa BN.
"Mesyuarat juga bersetuju untuk menjadikan kejayaan BN dalam beberapa pilihan raya kecil baru-baru ini sebagai panduan dalam membuat persediaan lebih rapi untuk menghadapi cabaran pada masa depan," katanya.
Mengenai pilihan raya negeri Sarawak, perdana menteri berkata BN akan membuat persiapan sewajarnya dalam menghadapi pilihan raya itu.
Sementara itu, Najib berkata BN juga akan mempertingkat usaha penerangan kepada rakyat mengenai langkah-langkah yang diambil kerajaan dalam Bajet 2015, yang bertujuan untuk memperkukuhkan ekonomi rakyat dalam pembangunan negara.
Beliau berkata ini termasuk menjelaskan kepada rakyat mengenai rasionalisasi subsidi, cukai barang dan perkhidmatan (CBP) yang akan dilaksanakan April tahun depan serta konsep ekonomi rakyat yang dukungannya yang memberi tumpuan kepada peningkatan ekonomi rakyat berbanding ekonomi kapitalis.
"Ini perlu diperjelas kepada rakyat supaya tujuan baik kerajaan dapat bditerima dengan positif," katanya.
#Barisan Nasional
#BN
#Dewan Tertinggi BN
#Menara Dato Onn
#Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
#Pilihanraya Umum ke-14