BN sebulat suara setuju pertahan Kerajaan Perpaduan, bincang model kerjasama hadapi PRN

Umavathi Ramayah
April 27, 2023 14:51 MYT
Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, BN juga komited untuk bersama-sama membangunkan agenda polisi rakyat terus dilaksanakan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional sebulat suara bersetuju untuk mempertahan kerajaan Perpaduan yang turut dianggotai Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, BN juga komited untuk bersama-sama membangunkan agenda polisi rakyat terus dilaksanakan.
Dalam mesyuarat yang membabitkan semua parti komponen BN pada Khamis, perbincangan turut melibatkan model kerjasama antara BN bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi berdepan Pilihan Raya Negeri.
"Dewan Tertinggi BN juga telah dimaklumkan secara mendalam persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Perbincangan juga melibatkan model kerjasama antara BN bersama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Zambry turut memaklumkan, mesyuarat juga bersetuju untuk mengambil bahagian dalam Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada 4 Mei ini.
Pada masa sama katanya, parti komponen melalui presiden parti masing-masing turut merakamkan ucapan tahniah kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan selaku Timbalan Presiden UMNO yang menang tanpa bertanding dalam Pemilihan UMNO 2023-2026.
"Turut dirakamkan tahniah kepada seluruh kepimpinan Majlis Tertinggi serta kepimpinan UMNO setiap peringkat atas kemenangan pada pemilihan tersebut," ujarnya lagi.
Zambry menambah, mesyuarat juga bersetuju dengan pelantikan Bendahari Agung BN, wakil Pergerakan Pemuda dan Puteri, pengganti wakil UMNO dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) \ke Dewan Tertinggi selain pelantikan Jawatankuasa Penyelaras Negeri serta bahagian.
Justeru katanya, BN menyeru agar semua pemimpin dari pelbagai lapisan masyarakat untuk terus menjaga perpaduan dan keharmonian agar kestabilan politik dapat dijamin.
#Barisan Nasional #Kerajaan Perpaduan #pilihan raya negeri #Zambry Abd Kadir